KUALA LUMPUR: Harga minyak masak sawit tulen tidak bersubsidi dalam botol lima kilogram (kg) akan ditetapkan secara bulanan.
Menjelaskan perkara itu, Pengerusi Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi, Tan Sri Annuar Musa berkata, harga minyak masak pada bulan ini adalah RM34.70 berkuat kuasa mulai 8 Ogos ini.
Katanya, keputusan tersebut mengambil kita penetapan harga maksimum Minyak Sawit Mentah (CPO) yang diumumkan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) pada setiap bulan.
“Bagi bulan Ogos, MPOB telah memaklumkan harga minyak sawit purata bagi bulan yang lepas iaitu bulan Julai, ialah pada RM4,631 tan metrik. Berdasarkan pada harga tersebut, harga jualan minyak masak dalam botol lima kilogram telah diputuskan untuk ditetapkan pada RM34.70.
“Dari tarikh yang diumumkan hari ini, yakni sekarang, penguatkuasaan di kedai-kedai di peringkat runcit hendaklah mula dilaksanakan tujuh hari kemudian iaitu bermula 8 Ogos ini. Bermakna minyak masak lima kg pada masa ini antara RM39 dan RM40 hendaklah dijual pada harga maksimum RM34.70.
“KPDNHEP akan ambil langkah untuk wartakan harga maksimum yang ditetapkan ini dan ia dibuat dalam tempoh seminggu bagi membolehkan pelaksanaan dilakukan pada 8 Ogos.
“Pada bulan-bulan akan datang, keadah sama dikekalkan yang mana setiap 1 hari bulan, MPOB akan buat pengumuman harga,” katanya dalam sidang akhbar di Parlimen, hari ini.

Menurut Annuar, satu kaedah pengiraan turut ditentukan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) setelah berunding dengan pemain-pemain industri bagi memastikan margin keuntungan. – UTUSAN