Harap magis Suri Cinta – Erin CTJ - Utusan Malaysia

Harap magis Suri Cinta – Erin CTJ

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUKAN satu tetapi sudah tiga lagu dipertaruhkan, tetapi namanya masih belum cukup dikenali peminat seni suara. Namun, itu bukan titik penamat untuk penyanyi muda, Erin CTJ terus mencuba nasib.

Mengharapkan magis single baharu, Suri Cinta, Erin sebenarnya cukup teruja kerana akhirnya dapat menyanyikan lagu ciptaan komposer dan penyanyi yang cukup dihormatinya, Tomok.
“Ketika abang Tomok telefon, Erin rasa teruja sangat. Erin memang minat suara dan lagu-lagunya. Apatah lagi, kami pernah bekerjasama dalam sebuah projek khas sebelum ini.

“Tidak dinafikan, dalam keterujaan itu, timbul juga perasaan takut. Bagaimana kalau lagu ini tidak berjaya? Bagaimana kalau Erin tak mampu menyanyikan lagu ini dengan baik? Semua itu bermain dalam fikiran,” jelasnya.

Sudah namanya rezeki, Erin memberitahu, lagu itu juga terpilih sebagai runut bunyi drama yang sedang hangat ditayangkan, Selamanya Suri Cinta lakonan Siti Nordiana, Sham Visa, Farahdhiya dan Fahrin Ahmad.

“Jujurnya memang saya rasa kecewa. Iyalah, sudah tiga single dihasilkan sebelum ini, tetapi masih belum dikenali ramai. Saya kuatkan semangat dan fikir, tidak apa, masih muda dan jauh lagi perjalanan itu.

“Tetapi, apabila tahu lagu Suri Cinta ini terpilih sebagai runut bunyi, saya cukup gembira dan berbangga. Bukan senang dapat peluang itu. Malah, ini adalah langkah besar untuk saya mempromosikan single baharu itu,” katanya.

Erin sebelum ini pernah melancarkan single Arjuna, Jalan Duta dan Dambaanku. Malah, gadis berusia 19 tahun ini juga pernah menyertai pelbagai pertandingan nyanyian, termasuk D’Academy Dangdut Asia 2019 di Indonesia.

CUBA DUNIA LAKONAN

Selain menyanyi, Erin yang kini di bawah pengurusan Rusa Music turut mencuba nasib sebagai pelakon. Sementelah, dia tahu lakonan dan nyanyian boleh diseimbangkan dengan strategi dan usaha sendiri.

“Sebenarnya, Erin lebih suka menyanyi. Cuma, apabila dapat tawaran berlakon, tak mungkin kita lepaskan pula. Erin kena pandai bahagi masa. Kalau boleh mahu kukuhkan nama sebagai penyanyi dahulu.

“Erin sekarang sibuk dengan penggambaran sebuah drama bersiri untuk siaran Astro Citra dan sebuah telemovie, Hantu Tenggek yang bakal disiarkan September nanti,” katanya.

Menjadikan Datuk Seri Siti Nurhaliza dan Dayang Nurfaizah sebagai ikon seni suara yang digemari, Erin berharap peminat muzik tanah air akan memberi peluang dan menyokong bakat serta impiannya.

“Erin mahu nama dikenali kerana bakat. Bukan kerana kontroversi atau cerita sensasi yang akhirnya boleh memburukkan nama sendiri dan keluarga. Tak apa jika lambat popular, asalkan bertahan lama,” katanya

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya