PUTRAJAYA: Ribuan peserta melakukan sujud tilawah sejurus dilantunkan ayat 15 Surah Al-Sajdah yang dijadikan sebagai bacaan pilihan bersempena Malaysia #QuranHour hari ini.
Perkara unik tersebut antara kelainan yang ditampilkan dalam program berkenaan serta turut diikuti secara langsung serentak menerusi saluran TV AlHijrah selain platform atas talian.
Dewan solat utama Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin di sini sekali lagi menjadi lokasi untuk program itu dan turut disertai 1,826 lokasi lain di seluruh negara dan satu lokasi di Brunei.
Ini juga merupakan kali keempat masjid berkenaan dijadikan lokasi perdana sejak program tersebut diperkenalkan penganjurnya, Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) pada 2016.
Bertemakan Malaysia Bersujud: Keluarga Malaysia Teguh Bersama, program selama sejam bermula pukul 12 tengah hari itu turut diadakan bersempena Hari Kebangsaan 2022 esok.
Dihoskan bersama Jalal Zaiki dan Farah Diana Anuar, program tersebut dibuka dengan bacaan penuh Surah Al-Fatihah diikuti Surah Al-Baqarah ayat 1 hingga 5 dan Surah Al-Sajdah.
Bacaan dibimbing qari Wan Fakhrul Razi, Wan Mohamad, Aiman Ridhwan Mohamad Ramlan, Amirahman Abas, Abdul Khair Jalil, Ahmad Tirmizi Ali dan Ahmad Tarmizi Abdul Rahman.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif WUIF, Marhaini Yusoff, Surah Al-Sajdah dipilih bagi membawa visi memerdekakan manusia daripada sifat kesombongan, kesedihan dan kemurungan.
“Masyarakat hari ini takut terhadap pelbagai perkara namun untuk dapat balik ketenangan, kita perlu kembali kepada al-Quran demi difahami dan diamalkan,” katanya kepada pemberita.
Tadabbur pula oleh Ketua Pegawai Penyelidik WUIF, Fazrul Ismail; Mohamad Zarifi Daud dari Jabatan Kemajuan Islam Malaysia dan Dr. Syafiq Sahimi dari Universiti Sultan Azlan Shah.
Sementara slot Pesan Tokoh yang bertajuk Sujud dan Sedekah disampaikan oleh bekas Timbalan Ketua Pesuruhjaya di Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Datuk Zakaria Jaffar
Tidak ketinggalan ialah Pengasas WUIF yang juga Pengerusi Kumpulan Karangkraf Sdn. Bhd., Datuk Husamuddin Yaacub dengan menyampaikan pesan bertajuk Kesabaran Pemimpin.
Sesi diakhiri dengan bacaan Ikrar Quran Malaysia oleh hero filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan, Datuk Adi Putra dan doa untuk Malaysia dipimpin imam masjid itu, Nor Azamir Alias. – UTUSAN