Hak Tengku Zafrul, Bersatu tak perlu campur - Ahmad

Hak Tengku Zafrul, Bersatu tak perlu campur – Ahmad

AHMAD MASLAN mengaminkan bacaan doa ketika melakukan Ziarah Kasih di Kampung Parit Lama, Benut, Pontian, hari ini
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PONTIAN: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tidak perlu mencampuri urusan Barisan Nasional (BN) mengenai  pelantikan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz sebagai Bendahari BN Selangor.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan menegaskan, memang menjadi hak Tengku Zafrul untuk memilih hala tuju politiknya.

Menurutnya, UMNO dan BN tidak pernah mencampuri hal ehwal parti lain, tetapi ada pihak luar yang terlalu mengambil berat apa yang sedang berlaku dalam UMNO seperti kecewa dengan tindakan tersebut.

“Tengku Zafrul merupakan ahli UMNO Cawangan Jalan Travers sejak 1993. Tentunya lebih  mengetahui parti mana yang ingin beliau sertai tanpa perlu merujuk kepada mana-mana pihak.

“Sebenarnya tiada isu mengenai pelantikan Tengku Zafrul sebagai Bendahari BN Selangor. Itu hak beliau untuk membuat keputusan sebagai pendokong kepada mana-mana parti yang sesuai,” katanya sebagai mengulas kenyataan Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan yang mendakwa Tengku Zafrul sudah lupa intergriti dan kredibiliti selepas dilantik sebagai Bendahari BN Selangor.

Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pontian ditemui selepas mengadakan program Ziarah Kasih di Kampung Lama, Benut, di sini.

Beliau berkata, kenyataan Wan Saiful itu jelas membayangkan kekecewaannya kerana Tengku Zafrul tidak memilih untuk menyertai Bersatu.

“Kenapa membuat tuduhan dan dakwaan sedemikian rupa kepada Tengku Zafrul, siapa anda untuk menghukumnya. Itu adalah  hak beliau untuk memilih BN dan UMNO,” tegasnya.

Menurutnya, tentunya hasrat Tengku Zafrul telah diberikan pertimbangan tinggi oleh kepimpinan UMNO dan BN negeri serta Pusat, termasuk di mana beliau akan bertanding dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15). – UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN