KUANTAN: Seorang guru besar dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuantan di sini hari ini atas dakwaan menyalahgunakan jawatan untuk membuat tuntutan palsu berkaitan program di sekolahnya berjumlah RM900, lima tahun lalu.
Bagaimanapun, tertuduh, Lee Wai Teng, 58, tidak mengaku bersalah dan mohon dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan hakim Datuk Ahmad Zamzani Mohd. Zain.
Berdasarkan kertas pertuduhan, Wai Teng memberikan kepada seorang ejen yang juga pembantu tadbirnya satu dokumen Set Tuntutan Bayaran Pembekalan Makanan untuk Program Klinik Sukan Prasekolah bertarikh 21 November 2017 yang mempunyai kepentingan mengenainya.
Dokumen terbabit mempunyai butir-butir palsu tentang pembekalan makanan bagi program tersebut yang sebenarnya pembekalan makanan itu tidak dilakukan.
Tertuduh, melakukan kesalahan tersebut di Sekolah Jenis (J) Kebangsaan Cina Sungai Lui, dekat Raub, pada 6 Disember 2017.
Dalam pada itu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 Akta yang sama yang boleh dikenakan penjara sehingga 20 tahun dan dikenakan denda tidak kurang lima kali ganda atau RM10,000.
Kes tersebut dikendalikan Pegawai Pendakwa SPRM, Kamariah Semen dan turut menawarkan wang jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin.
Tertuduh yang juga merupakan ibu kepada dua orang anak itu hadir bersama peguamnya, Chuah Shyue Chien memohon agar jaminan dikenakan ke atasnya dikurangkan.
Mahkamah membenarkan jaminan RM8,000 dengan seorang penjamin dan memerintahkan tertuduh melapor diri di Pejabat SPRM Raub setiap awal bulan bermula September sehingga kes selesai dan menyerahkan pasport perjalanan dengan kadar segera pada 7 September depan.
Kes disebut semula 15 September depan bagi lantikan peguam dan serahan dokumen. –UTUSAN ONLINE