Intergrasi tanaman nanas dengan tenaga solar

Intergrasi tanaman nanas dengan tenaga solar

Teknologi solar membolehkan tanaman nanas dilakukan pada waktu malam. - UTUSAN/FAIZ ALIF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SERDANG: Malaysia menjadi negara pertama memperkenalkan konsep integrasi kawasan tanaman nanas dengan tenaga solar yang akan diperluaskan kepada pemain industri dalam masa terdekat.

Ketua Pengarah Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM), Mohd Khairuzamri M Salleh berkata, idea berkenaan merupakan inovasi baharu yang dicipta bagi mengoptimumkan sumber tenaga boleh diperbaharui seperti solar.

Menurut beliau, dua lokasi yang menjadi projek rintis bagi penanaman waktu malam adalah RTP Bukit Goh, Kampung Pak Ngah Aziz, Kuantan dan Kampung Pulau Manis, Gambang di Pahang.

“Integrasi kawasan tanaman nanas dengan tenaga solar membolehkan sumber bekalan tenaga diguna pakai pada waktu malam bagi menjana aktiviti penanaman nanas yang secara morfologinya sesuai dilakukan pada waktu malam.

“Jadi berdasarkan pemerhatian awal yang dibuat di Pahang, penanaman yang dibuat pada waktu malam memendekkan tempoh kematangan buah nanas untuk dituai daripada 14 bulan kepada 11 bulan,” katanya ketika ditemui di Laman Nanas Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) di sini kelmarin.

Mohd. Khairuzamri berkata, konsep tanaman waktu malam itu buat julung kali dipromosikan bersempena Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2022 bagi menarik minat orang ramai terhadap bidang pertanian.

Jelasnya, kaedah penanaman pada waktu malam itu akan mula diperluaskan ke seluruh negara selepas LPNM melengkapkan keseluruhan data-data kajian.

“Apabila kita guna tenaga solar, kos akan menjadi lebih rendah selain tenaga itu boleh digunakan semula seperti bateri dron pertanian dan mesin penyemburan baja.

“Konsep ini juga dapat mengurangkan ancaman binatang perosak yang sering merosakkan tanaman pada waktu malam, apabila ada pekerja di ladang maka ia akan membataskan kehadiran makhluk perosak,” ujarnya.

“Selain itu, konsep night farming’ tersebut turut menyokong Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) yang digariskan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

“Bayangkan kita ada 17,000 hektar tanaman nanas di Malaysia, kalau separuh sahaja yang menerima kaedah ini berapa banyak sumbangan kepada pengurangan pelepasan karbon yang menyokong agenda antarabangsa dan dalam masa sama mempromosi Malaysia yang jelas menyokong SDG,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN