GTA hanya mahu bunuh UMNO, DAP ambil kesempatan

GTA hanya mahu bunuh UMNO, DAP ambil kesempatan

TAJUDDIN ABDUL RAHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Usaha Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Tun Dr. Mahathir Mohamad bergabung dengan beberapa parti lain menubuhkan Gerakan Tanah Air (GTA) dilihat semata-mata ingin ‘membunuh’ UMNO yang selama ini memperjuangkan nasib orang Melayu.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata, beliau tidak nampak keikhlasan GTA membantu bangsa sendiri, malah GTA diramal sukar mendapat sokongan kerana ramai tidak lagi mempercayai muslihat pemimpin berkenaan.

“GTA bertujuan bukan untuk membela orang Melayu dan Islam tetapi lebih kepada nak memecahbelahkan orang Melayu khususnya yang menyokong UMNO dan Barisan Nasional BN). Tun Mahathir dengan jelas dan nyata bahawa tujuan beliau adalah untuk mengalahkan UMNO. 

“Ini tujuan yang tidak baik kerana beliau sendiri tahu UMNO adalah parti yang berjuang untuk orang Islam serta bangsa-bangsa lain. Beliau sendiri terlibat dalam UMNO begitu lama, parti in mengangkat beliau sebagai pemimpin. Adakah dia berpuas hati jika UMNO dikalahkan? melihat perjuangan orang Melayu kecundang,” soalnya ketika dihubungi, semalam.

Minggu lalu, Tun Mahathir melancarkan GTA terdiri daripada parti politik, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), profesional dan ahli perseorangan.

Bekas Perdana Menteri itu mengumumkan gabungan berkenaan akan mempertaruhkan calonnya di 120 kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bagi menentang UMNO dan kesemua kerusi tersebut diletakkan di kawasan majoriti penduduk Melayu di Semenanjung Malaysia.

Bagaimanapun, Pas menjelaskan yang parti itu tidak akan menyertai gabungan tersebut, begitu juga dengan PKR yang turut menolaknya dimana Presidennya, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, bekas Perdana Menteri itu boleh membantu Melayu pada 22 bulan pemerintahan Pakatan Harapan (PH) jika beliau benar-benar menginginkannya.

Mengulas lanjut, Tajuddin dalam masa yang sama turut mempersoal mengapa Tun Mahathir tidak menggunakan pengaruh beliau sewaktu memegang jawatan sebagai Perdana Menteri untuk membantu orang Melayu.

“Kenapa tidak dalam tempoh yang lama beliau berkuasa, berjawatan, sokongan begitu hebat daripada orang Melayu, kenapa beliau gagal? Ini kerana apabila memegang jawatan dan berkuasa, Tun telah lupa kepada perjuangan beliau.

“Orang Melayu tidak dapat peluang sokongan bantuan sepertimana kaum lain. Mereka yang lain diberi peluang, disokong diangkat seperti anak kandung sendiri adalah orang lain, bukan orang Melayu. Jadi, sebab itu saya berpandangan, hasrat Tun Mahathir kali ini tidak akan berjaya kerana beliau sebenarnya sudah tidak dipercayai lagi,” jelasnya.

Malah, tindakan Tun Mahathir jelas Tajuddin lagi hanya akan mengakibatkan bangsa lain akan mengambil kesempatan daripada apa yang berlaku khususnya DAP.

“Kalau UMNO kecundang, Melayu akan kalah. Yang menang orang lain, yang berkuasa orang lain, tengok dalam pilihan raya lalu. Tun bersama Pakatan menjatuhkan UMNO. Bukan Tun menang, UMNO pun kalah dan yang menang orang lain. Yang menang DAP, merupakan parti yang menjadi musuh pada perjuangan UMNO.

“Alasan diberikan Tun, nak menjatuhkan UMNO dipimpin mereka-mereka yang dituduh rasuah, salah guna kuasa, dan sebagainya. Tun jangan marahkan nyamuk, bakar kelambu. Marahkan dua, tiga orang, jangan UMNO nak dibunuh,” ujarnya lagi.-UTUSAN

 

 

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.