GTA guna logo Tanah Air, daftar RoS minggu depan - Utusan Malaysia

GTA guna logo Tanah Air, daftar RoS minggu depan

MAHATHIR Mohamad ketika hadir pada sidang akhbar GTA di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Gerakan Tanah Air (GTA) yang ditunjangi empat parti Melayu bakal menggunakan satu logo untuk bertanding dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Pengerusi Penaja gerakan itu, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, logo berkenaan menggunakan nama Tanah Air untuk diputuskan pada minggu depan sebelum gerakan itu dibawa pendaftaran ke Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS).

Sebelum ini GTA dilancarkan secara rasmi dengan disertai Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Parti Perikatan India Muslim Nasional (IMAN), Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) dan Parti Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa).

Beliau turut mengumumkan lima lagi nama pemimpin tertinggi gerakan itu iaitu Datuk Mohamed Ismail (Bendahari); Datuk Nizam Mahshar (Ketua Penerangan); Datin Paduka Che Asmah Ibrahim (Sayap Wanita) dan Nasrul Ali Hasan Abdul Latif (Sayap Pemuda) dan Azliza Rajain (Sayap Pemudi).

“Jelas di sini pengurusan gerakan ini terdiri daripada bukan saja parti politik tetapi pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan orang perseorangan.

“Kita mewakili orang Melayu tetapi bukan semua orang Melayu. Kita tidak mewakili orang Melayu yang ada masalah di mahkamah atau yang dikenal pasti terlibat jenayah. Mereka itu tidak terlibat dengan kita,” katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Presiden GTA di sini hari ini.

Dr. Mahathir yang juga bekas Perdana Menteri berkata, pada masa sama beliau menafikan tuduhan bahawa kewujudan GTA memecahbelahkan orang Melayu, sebaliknya berjaya mencantumkan empat buah parti Melayu demi mendirikan sebuah kerajaan yang bersih.

Beliau berkata, empat parti Melayu ini akan berada dalam gerakan tersebut dan bermakna mereka tidak berlawan sesama sendiri ketika PRU15 dan menyokong setiap calon GTA.

“Sekarang ini kita berjaya mencantumkan parti-parti politik Melayu yang biasanya berlawan sesama sendiri, kali ini kita tak lawan sesama sendiri tetapi kita bersatu.

“Tuduhan pecah belah Melayu ini tidak benar. Kita akui tidak boleh nak satukan orang Melayu yang terlibat jenayah curi duit. (Mereka) itu tidak ada dalam gerakan ini. Kami berjuang untuk bangsa Melayu, negara kita dan agama Islam,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya