PASIR PUTEH: Golongan muda yang terlibat dalam sektor perikanan perlu berani meneroka pasaran sehingga ke peringkat global dengan memanfaatkan penggunaan jalur lebar dan kaedah pendigitalan bagi menambah pendapatan menerusi Program myagropreneur Perikanan (myAp) sebagaimana disediakan oleh kerajaan.
Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II, Datuk Dr. Nik Muhammad Zawawi Salleh berkata, myAp adalah bentuk sokongan berfokus kerajaan bagi merealisasikan pembangunan keusahawanan perikanan negara di masa hadapan.
“Pihak kementerian menerusi Jabatan Perikanan Malaysia menyediakan bantuan khusus dalam bentuk geran penuh atau geran padanan secara individu dan berkumpulan bagi membangunkan aktiviti keusahawanan yang berasaskan perikanan.
“Melalui program golongan muda boleh mendapatkan bantuan kewangan RM20,000 tanpa bayaran balik. Selain itu mereka turut diberikan pinjam pembiayaan perniagaan bermula RM50,000 hingga RM200,000 dengan kadar caj bayaran balik yang paling rendah,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Program Pemantapan myKP dan MyAp serta perasmian Anjung Perikanan Tok Ajam, di sini hari ini.
Ahli Parlimen Pasir Puteh itu memberitahu, bagi usahawan mikro perikanan kementerian turut menyediakan dana pinjaman padanan sebanyak RM60,000 untuk setiap projek yang diusahakan.
Katanya, selain itu aset sedia ada termasuk bekalan ikan laut dalam, pesisir pantai, akuakultur dan ternakan ikan darat berupaya dibangunkan bagi menghasilkan produk yang perlu merentasi pasaran global. – UTUSAN










