Gagal dalam pertanian, bidang fotografi bawa tuah - Utusan Malaysia

Gagal dalam pertanian, bidang fotografi bawa tuah

AMIRUL FIKRI AZMAN (duduk kiri) bersama-sama kakitangannya yang menjadi tulang belakang Kun Studio.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA TINGGI: Bangkit daripada kegagalan dalam bidang pertanian, seorang anak muda kini berjaya dalam seni fotografi meskipun pada awalnya ramai yang tidak yakin bidang itu mampu pergi jauh.

Amirul Fikri Azman, 29, kini sudah lapan tahun membangunkan Kun Studio yang bertapak di Bandar Penawar, di sini dengan menawarkan khidmat dalam bidang fotografi dan videografi.

Seramai lima orang pekerja berkhidmat di syarikatnya itu dan dia turut menerima pelajar praktikal untuk menimba ilmu dan pengalaman.

“Saya memang tidak suka bekerja makan gaji, tambahan keluarga saya memang biasa berniaga. Jadi lepas habis belajar saya sempat ceburi bidang pertanian bersama-sama orang tua. Saya diberi amanah untuk melaksanakan tanaman nanas di ladang seluas 30 ekar. Namun hanya bertahan selama dua tahun kerana ketika itu berlaku lambakan nanas sebab masalah pasaran, maklum sahaja budak baru. Masa itu memang hanya dapat pulang modal dan projek nanas tak diteruskan lagi.

“Sejak belajar saya memang suka bidang fotografi. Kisah saya dalam bidang ini bermula apabila seorang sahabat sekampung mengajak untuk mengambil gambar majlis kahwin yang menjadi pencetus untuk serius dalam bidang ini, ”katanya ketika ditemui Utusan Malaysia, baru-baru ini.

Bapa kepada dua orang anak itu berkata, bermula dengan melakukan kerja-kerja suntingan dan cetakan di rumah sebelum berpindah di kedai kecil, kini dia bersyukur kerana memiliki pejabat dan studio yang lebih luas dan selesa disewa di bangunan Majlis Amanah Rakyat (Mara).

Ekoran bidang perniagaannya yang dilihat kurang popular ketika itu, permohonannya untuk mendapatkan sewaan di situ pernah ditolak sebanyak dua kali.

Namun, dia bersyukur kerana pada sesi temuduga kali ketiga membuahkan kejayaan kerana terdapat panel yang terdiri daripada kalangan orang muda yang memahami dan dapat melihat masa depan perniagaannya.

“Keluarga juga awalnya tidak yakin apabila saya cakap hendak membuka perniagaan dalam bidang ini mereka bimbang sama ada boleh pergi jauh atau tidak. Mereka tidak nampak masa depan dalam bidang ini pada ketika itu. Meskipun telah memecah tradisi keluarga yang banyak terlibat dalam bidang pertanian, namun apa yang penting saya berjaya buktikan kepada mereka bahawa perniagaan dalam bidang fotografi juga mempunyai masa depan yang amat baik bahkan membawa pulangan yang baik.

“Semua pekerja saya juga mempunyai caruman Kumpulan Simpanan Wang Pekerja (KWSP) untuk simpanan hari tua mereka. Bagi saya perniagaan ini untuk berkongsi rezeki. Kita hendak lama dalam bidang ini tidak boleh bekerja seorang dan perlu bekerja dalam kumpulan,” katanya sambil mengakui kehadiran ramai ‘freelance’ menjadi pencabar baginya.

Namun, situasi itu tidak mematahkan semangat bahkan dia cuba mempelbagaikan usaha kerana sedar tanggungjawab besar digalas untuk membayar gaji pekerjanya dan juga komitmen lain setiap bulan.

“Jadi selain ambil gambar pada majlis perkahwinan kami juga menyediakan khidmat mengambil gambar acara syarikat dan jabatan kerajaan. Memang pada awalnya kami hanya fokus ambil untuk perkahwinan, namun selepas melihat situasi semasa ia perlu dipelbagaikan.

“Pandemik Covid-19 juga banyak mengajar saya supaya menerokai bidang lain. Alhamdulillah, kami berjaya harungi pandemik dengan baik tanpa ada seorang kakitangan pun yang diberhentikan. Sebab itu sekarang saya turut melebarkan sayap dalam bidang lain dengan membuat khidmat sewaan kenderaan dan bot untuk mempelbagaikan sumber kewangan, namun fokus utama masih terhadap Kun Studio,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya