Etiqa Takaful sumbang zakat RM150,000 kepada UiTM Melaka 

Etiqa Takaful sumbang zakat RM150,000 kepada UiTM Melaka 

DR. Mohamed Hadi Abd. Hamid (tujuh dari kanan) dan Dr. Mohd. Rasdi Zaini (lapan dari kanan) bersama delegasi Etiqa Takaful Berhad dan wakil asnaf pelajar UiTM Cawangan Melaka selepas maljis penyerahan zakat baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR GAJAH: Etiqa Takaful Berhad menyerahkan sumbangan zakat sebanyak RM150,000 kepada UiTM Cawangan Melaka sebagai salah satu usaha memenuhi tanggungjawab sosial korporatnya.

Majlis penyerahan itu disempurnakan Ketua Pengurusan Syariah Etiqa Takaful Berhad, Dr. Mohamed Hadi Abd Hamid kepada Rektor UiTM Cawangan Melaka, Prof. Madya Ts. Dr. Mohd Rasdi Zaini di bangunan Pejabat Rektor UiTM Kampus Alor Gajah.

Menurut Mohamed Hadi, sebagai sebuah organisasi yang bertanggungjawab menunaikan zakat perniagaan, setiap tahun pihaknya akan menunaikan kewajipan itu kepada pelbagai pihak termasuk UiTM Melaka.

“Etiqa telah menjalankan tanggungjawab sosial terhadap anak bangsa, sesuai dengan motto kami, ‘ingin menjadikan dunia ini sebagai tempat yang lebih baik untuk semua’. Dan rentetan majlis ini, kita berhasrat mengadakan kerjasama berterusan dengan UiTM Melaka selepas ini”, ujar beliau.

Sementara itu, rektor UiTM Cawangan Melaka, Dr. Mohd Rasdi menzahirkan rasa syukur dan terima kasih kepada Etiqa Takaful yang menyalurkan zakat syarikatnya kepada UiTM Melaka.

“Saya mewakili seluruh warga UiTM Melaka ingin menyampaikan setinggi-tinggi ucapan terima kasih kepada Etiqa Takaful Berhad atas sumbangan zakat yang sangat bermakna ini. Kita mengharapkan dengan bantuan ini, pelajar-pelajar ini dapat meneruskan pengajian dengan baik dan seterusnya memberi sumbangan kepada masyarakat kelak”, ujarnya.

Majlis anjuran Pusat Jaringan Industri (PJI), UiTM Cawangan Melaka dengan kerjasama unit Waqaf, Zakat dan Infaq (EL-WAZIF), UiTM Cawangan Melaka itu bertujuan meraikan syarikat-syarikat korporat yang menyalurkan sumbangan zakat selain sesi menyampaikan zakat kepada beberapa asnaf pelajar yang terpilih.

Sementara itu, wakil pelajar yang ditemui, Noor Azwany Hazri, 22, yang berasal dari Masjid Tanah mengucapkan ucapan terima kasih kepada UiTM Melaka dan Etiqa Takaful atas sumbangan tersebut.

“Walaupun jumlahnya tidak terlalu besar untuk menampung segala perbelanjaan, saya amat bersyukur dan berterima kasih kepada UiTM Melaka dan semua yang terlibat. Bagi saya ia cukup bermakna, kerana dengan wang tersebut saya boleh tampung belanja makan harian saya dan beberapa keperluan pembelajaran saya,” katanya.

Dalam majlis yang sama, Koordinator unit El-Wazif, Muaz Mohd Noor turut membentangkan laporan terperinci kadar agihan zakat UiTM Melaka sehingga Ogos 2022. 

Seramai 670 asnaf UiTM Melaka telah menerima zakat semester ini dengan nilai agihan berjumlah RM175,800.

“Dengan tambahan zakat yang baru diperoleh dari Etiqa Takaful ini, kita menjangkakan pelajar UiTM Melaka pada semester akan datang bakal menerima zakat dengan kadar yang lebih besar dengan nilai yang setara dengan keperluan dan kehendak semasa”, ujar beliau. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN