Elaun Pembantu Pendidikan Masyarakat Kemas naik RM300 - PM

Elaun Pembantu Pendidikan Masyarakat Kemas naik RM300 – PM

ISMAIL Sabri Yaakob ketika hadir Majlis Perhimpunan Perdana Sambutan 60 Tahun Kemas di MAEPS Serdang, hari ini. - MINGGUAN/FAIZ ALIF AHMAD ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SERDANG: Kerajaan hari ini bersetuju menaikkan kadar elaun Pembantu Pendidikan Masyarakat (PPM) Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) kepada RM800 berbanding RM500 sebelum ini.

Berita gembira itu diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di hadapan 7,000 warga Kemas ketika merasmikan Perhimpunan Perdana Sempena Sambutan 60 Tahun Kemas di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS), di sini, hari ini.

Beliau berkata, kenaikan elaun itu melibatkan seramai 9,439 PPM di seluruh negara.

Katanya, kerajaan juga bersetuju menaikkan kadar bantuan sara hidup ahli Persatuan Bekas Angggota Kemas (PBKAM) daripada RM300 kepada RM500 yang memberi manfaat kepada seramai 4,423 ahli.

“Pada masa sama, kerajaan memperuntukkan RM8 juta bagi program digitalisasi di 800 buah taman bimbingan kanak-kanak (Tabika) Kemas di seluruh negara,” katanya.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, kerajaan bersetuju dengan cadangan memendekkan tempoh kelayakan pegawai kontrak perkhidmatan Kemas ke lantikan jawatan tetap dari 15 tahun kepada 10 tahun.

Menurutnya, tempoh kelayakan ke lantikan tetap itu membabitkan kira-kira 4,322 pegawai dan kakitangan Kemas berjawatan kontrak perkhidmatan yang berkhidmat lebih 10 tahun tetapi kurang 15 tahun.

“Kerajaan juga bersetuju dengan cadangan melonggarkan syarat pegawai lantikan kontrak perkhidmatan yang berkhidmat lebih 10 tahun tetapi jurang dari 15 tahun untuk dilantik dalam jawatan tetap. 

“Dasar ini dipanjangkan juga kepada lantikan kontrak perkhidmatan pada atau sebelum 11 Oktober 2020 yang sebelum ini hanya diluluskan kepada pegawai lantikan kontrak sebelum atau pada 23 Oktober 2015,” katanya.

Pada masa sama, katanya, kerajaan bersetuju memberi dua gred kenaikan pangkat bagi skim-skim perkhidmatan iaitu Penolong Pegawai Pembangunan Masyarakat Tabika/Taska dan Pembangunan Kemahiran dan Komuniti Gred S29 kepada gred S32 serta gred S38. 

Perdana Menteri berkata, dua gred kenaikan pangkat sama turut diberikan bagi jawatan Pembantu Pembangunan Masyarakat Gred S19 kepada dua Gred S22 dan S26. 

“Ia turut membabitkan kenaikan gred Pegawai Kemajuan Daerah dari gred 38 ke 41 dan pengarah negeri dari gred 48 ke 52,” katanya.

Katanya, beliau mahu cadangan itu diperhalusi dan dikaji oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) sebelum ia dapat dilaksanakan.

Jelasnya lagi, beliau menyokong cadangan dan permohonan dikemukakan Kemas itu dan berharap Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Seri Mohd Shafiq Abdullah supaya mengambil tindakan segera. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.