Dua lelaki ditahan bersama 2,000 liter diesel bersubsidi

Dua lelaki ditahan bersama 2,000 liter diesel bersubsidi

ANGGOTA penguat kuasa PPDNHEP Pulau Pinang memeriksa sebuah lori yang memuatkan sebuah tangki khas berkapasiti 2,500 liter untuk mengisi diesel bersubsidi dalam serbuan di Jalan Baru, Bukit Mertajam, Pulau Pinang semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUKIT MERTAJAM: Dua lelaki ditahan bersama kira-kira 2,000 liter minyak diesel yang disimpan di dalam sebuah tangki khas dalam serbuan penguat kuasa Pejabat Perdagangan  Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (PPDNHEP) Pulau Pinang di sebuah stesen minyak di Jalan Baru, di sini semalam.

Ketua Pegawai Penguatkuasanya, A. Mogan berkata, serbuan kira-kira pukul 6 petang itu adalah hasil risikan dan maklumat yang diperolehi sebelum ini.

Terdahulu kata Mogan, pihaknya telah menjejaki lori jenis Daihatsu berwarna merah dengan muatan seberat dua tan itu dan ternampak suspek sedang mengisi minyak diesel dalam keadaan mencurigakan.

“Hasil siasatan mendapati lori tersebut mempunyai satu tangki berkapasiti 2,500 liter yang telah diubah suai dan ditempatkan di belakang lori berkenaan.

“Dua lelaki yang ditahan itu pula terdiri daripada warga tempatan iaitu pemandu lori dan seorang lagi pembantu,” katanya di sini hari ini.

Menurut Mogan, selain tangki simpanan turut dirampas dalam serbuan itu adalah satu unit motor pam elektrik dan satu unit hos paip dengan anggaran nilai keseluruhan rampasan berjumlah RM17,000.

Katanya, kes akan disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan jika sabit kesalahan bagi individu, boleh dikenakan penalti sehingga RM1 juta atau penjara selama tiga tahun atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan pertama.

“Bagi kesalahan kedua dan seterusnya pula, denda tidak melebihi RM3 juta atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali.

“Sementara itu, bagi pertubuhan atau perbadanan pula, denda tidak melebihi RM2 juta bagi kesalahan pertama dan RM5 juta bagi kesalahan kedua dan seterusnya boleh dikenakan jika sabit kesalahan,” ujar beliau.

Sehubungan itu katanya, PPDNHEP Pulau Pinang mengingatkan orang ramai supaya tidak menyalahgunakan barang kawalan bersubsidi atau bakal berdepan tindakan tegas.

“Selain itu, kita juga amat mengalu-alukan sebarang maklumat atau aduan daripada orang awam berhubung aktiviti penyelewengan barang kawalan bersubsidi,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN