Dr. M ketuai Gerakan Tanah Air tanding 120 kerusi Parlimen

Dr. Mahathir ketuai Gerakan Tanah Air tanding 120 Parlimen majoriti Melayu

Dr. MAHATHIR Mohamad bersama Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Datuk Ibrahim Ali pada sidang akhbar khas mengenai parti baharu Gagasan Tanah Air di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Gagasan baharu parti politik yang ditubuhkan, dikenali Gerakan Tanah Air (GTA) berhasrat bertanding di 120 kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) nanti. 

GTA dilancarkan secara rasmi semalam dengan disertai Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Parti Perikatan India Muslim Nasional (IMAN), Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) dan Parti Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa).

Pengerusinya, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, gerakan itu akan fokus untuk bertanding di semua kerusi majoriti Melayu dan kerusi yang ditandingi UMNO khususnya di Semenanjung Malaysia. 

“GTA disertai empat parti politik, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta turut mendapat sokongan ahli akademik dan profesional Melayu Islam. 

“GTA bukan bersifat perkauman sebaliknya untuk memberi tumpuan melawan sebuah parti Melayu yang sudah menyeleweng ketika ini,” katanya dalam sidang akhbar semalam.

Menurut Dr. Mahathir, GTA turut diserta kepimpinan Melayu dari kumpulan masyarakat sivil (NGO), intelektual, tokoh masyarakat, pendidik, agamawan, wanita, profesional, ahli perniagaan dan generasi baharu yang bersatu hati dan komited merubah sikap dan masa depan orang Melayu dan membangunkan negara yang unggul.

Jelasnya, GTA akan turun kepada masyarakat untuk menyampaikan pesan bahawa nasib bangsa Melayu ditentukan oleh mereka sendiri. 

“Orang Melayu perlu memilih sama ada untuk kekal terpinggir dan terkebelakang dipimpin oleh pemimpin Melayu yang rasuah, tiada integriti, bermasalah moral atau memilih pemimpin Melayu baharu yang benar-benar bersih, cekap, amanah.

“Pemimpin ini haruslah dalam kalangan mereka yang telah terbukti berjaya atau mempunyai kemampuan memimpin negara bagi menjadikan Malaysia sebagai negara maju dan menjadi contoh kepada negara lain,” katanya. 

Pada masa sama, Dr. Mahathir berkata, GTA tidak memusuhi kaum lain Malaysia namun diyakini apabila mengekalkan pemimpin Melayu yang bermasalah, masa depan rakyat berbilang kaum juga akan terjejas dari pelbagai sudut sama ada perpaduan, integriti, pendidikan anak-anak, kebajikan terutamanya ekonomi.

Ditanya sama ada GTA mahu mengadakan hubungan dengan Perikatan Nasional (PN) atau Pakatan Harapan (PH), Dr. Mahathir berkata, GTA tegas untuk tidak terbabit dengan individu kluster mahkamah. 

GTA dipengerusikan Dr. Mahathir manakala Timbalan-Timbalan Pengerusi pula terdiri daripada Presiden BERJASA, Zamani Ibrahim; Presiden PUTRA, Datuk Ibrahim Ali; Presiden Pejuang  Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan Presiden IMAN, Datuk Mohammed Mosin Abdul Razak. 

Ketua Setiausaha GTA ialah Datuk Marzuki Yahya manakala jawatan lain akan diisi kemudian termasuk beberapa wakil badan bukan kerajaan (NGO).  – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.