fbpx

Dr. Chen akan dikenang selama-selamanya

Chen Man Hin
CHEN MAN HIN

SEREMBAN: Pemergian pengasas DAP, Dr. Chen Man Hin, 98, yang meninggal dunia di kediamannya di sini pagi ini akan dikenang selama-lamanya oleh seluruh ahli parti itu.

Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook berkata, berita pemergian mendiang sesuatu yang menyedihkan dan sangat dirasai apatah lagi Man Hin banyak membantu dan membawa kejayaan kepada DAP sejak awal penubuhannya.

“DAP akan membantu keluarga mendiang bagi melaksanakan segala persiapan pengebumiannya. Mendiang Chen sudah bersama DAP sejak awal penubuhannya hingga ke hari ini, tanpa beliau, mungkin parti tidak berada di tahap ini.

ANTHONY Loke Siew Fook ketika ditemui pemberita selepas beliau menziarah ke kediaman Dr. Chen Man Hin di Jalan Dato’ Abdullah, Seremban selepas Penasihat Seumur Hidup DAP itu meninggal dunia, hari ini. – UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN

“Tarikh pengebumian mendiang masih belum dapat ditentukan lagi sehingga anak-anak mendiang yang kini berada di luar negara pulang. Berkemungkinan esok kami akan memulakan segala persiapan,” katanya ketika ditemui pemberita di kediaman mendiang di Jalan Dato’ Abdullah di sini.

Man Hin yang juga Penasihat Seumur Hidup DAP meninggal dunia ketika tidur di kediamannya itu kira-kira pukul 5 pagi tadi.

Mendiang meninggalkan seorang balu, Khong Siew Bee, 92, dan lima orang anak serta tujuh cucu.

LIM Guan Eng antara yang hadir menziarah ke kediaman Dr. Chen Man Hin di Jalan Dato’ Abdullah, Seremban. – UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN

Sementara itu, beberapa pemimpin DAP hadir menziarah ke kediaman mendiang antaranya, Pengerusi Kebangsaan DAP, Lim Guan Eng; bapanya, Lim Kit Siang; Timbalan Pengerusi Kebangsaan DAP, Gobind Singh Deo dan Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP, Steven Sim Chee Keong.

Dalam pada itu, Siew Fook memberitahu, beliau secara peribadi amat mengenali mendiang yang dianggapnya sebagai idola dan tokoh politik disegani.

“Saya mengenali mendiang sebagai ahli politik dan sebagai seorang doktor yang amat prihatin dan sanggup membantu orang miskin di Seremban. Sebagai Ahli Parlimen Seremban, saya juga amat terhutang budi kepada mendiang yang memegang kerusi Parlimen Seremban untuk beberapa penggal.

“Semasa saya bertanding Pilihan Raya Umum pada 2013, beliau juga sudi menjadi pencadang dan saya amat terhutang budi dan beliau akan dikenang selama-lamanya,” katanya.

Man Hin merupakan Pengerusi DAP sejak 1966 hingga 1999 dan seterusnya dilantik sebagai penasihat seumur hidup yang pertama bagi parti itu.

Mendiang menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rahang antara 1965 dan 1982 selain sebagai Ahli Parlimen Seremban Timor dari 1969 sehingga 1974 dan Seremban dari 1974 sehingga 1982 dan pada 1983 sehingga 1990. – UTUSAN

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, Twitter, Instagram, Youtube, Telegram & TikTok

BERITA BERKAITAN

Menarik di Kosmo!