KUALA LUMPUR: DAP mencadangkan pindaan perlembagaan parti yang boleh melucutkan keahlian Ahli Parlimen atau Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang tidak ikut keputusan parti.
Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook berkata, DAP akan mengadakan satu Kongres Khas pada 25 September ini untuk mencadangkan pindaan itu untuk mengadakan peruntukan baharu.
“Ini adalah untuk menutup lompang dalam pindaan yang diluluskan pada minggu lalu kerana terdapat pandangan bahawa perkara yang dipinda tidak mencukupi untuk melarang tindakan lompat parti.
“Sekiranya seseorang ahli Parlimen dipecat daripada partinya, ini tidak dikira sebagai lompat parti dan beliau tidak perlu mengosongkan kerusi dan pilihan raya kecil tidak perlu diadakan.
“Ini dilihat sebagai satu lompang yang membimbangkan kerana jika terdapat ahli Parlimen yang mempunyai niat untuk lompat parti, dia tidak akan meninggalkan parti namun akan membuat perkara supaya parti memecatnya,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Terdahulu Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022 mengenai peruntukan larangan ahli Dewan Rakyat lompat parti diluluskan dengan undi majoriti dua pertiga ahli Dewan.
Rang undang-undang itu pertama kali dibacakan pada 11 April lalu, bagaimanapun, ia kemudian dibawa ke Jawatankuasa Pilihan Khas bagi menimbang RUU tersebut berikutan tafsiran Perlembagaan dan lompat parti yang terluas.
Anthony Loke berkata, DAP bukan parti kuku besi, hanya dalam keadaan tertentu sahaja akan dilucutkan keahlian.
“Kita mempunyai pendekatan dan kepimpinan yang berlainan, tidak sepatutnya ada persoalan tentang perbezaan saya dengan Lim Guan Eng, hala tuju parti adalah tetap sama.
“Saya baru beberapa bulan di jawatan ini, namun saya yakin dengan diri saya dan cara pembahasan saya di Parlimen, saya tidak risau akan percakapan netizen kerana ramai lagi yang puji saya,” katanya. – UTUSAN