JERANTUT: Dewan Himpunan Penyokong Pas (DHPP) memohon kepada Pas supaya memberikan laluan bertanding atas ihsan tiket parti tersebut di tiga kerusi Parlimen dan 12 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Ketuanya, Senator N. Balasubramaniam berkata, hasrat tersebut selari semangat setiakawan dan perjuangan DHPP memberikan sokongan tidak berbelah bahagi kepada Pas sejak PRU-14 lalu.
“Pada PRU-14, Pas memberikan laluan kepada ahli DHPP bertanding di tiga buah Parlimen dan 18 DUN, tetapi untuk untuk PRU-15 nanti, kita juga memohon bertanding tiga Palimen, manakala 12 DUN sahaja berkurangan enam kerusia kerana Johor dan Melaka sudah mengadakan PRU sebelum ini.
“Bagaimanapun, DHPP menyerahkan persetujuan kepada Pas Pusat untuk menentukan kawasan bagi meletakkan calon sayap ini kerana kami tetap yakin dan percaya dengan keikhlasan pemimpin (Pas) yang selama ini menjadi ‘sahabat’ akrab bersama kami (DHPP) yang terdiri daripada pelbagai kaum,” katanya.
Beliau menyatakan demikian kepada pemberita di Kompleks Imam As Syafie (KIAS) Pas di Kampung Temin di sini hari ini.
Menurut Balasubramaniam, sehingga kini, seramai 62,768 ahli DHPP seluruh negara memberikan sokongan penuh kepada perjuangan Pas untuk memastikan kemenangan parti itu di setiap kawasan yang dipertandingkan pada PRU15.
“Kita (DHPP) juga akan berusaha sekurang-kurangnya satu Parlimen dan beberapa DUN dimenangi oleh calon kami yang bertanding atas tiket Pas berasaskan peningkatan sokongan ahli serta bantuan daripada Pas sendiri,” katanya.
Dalam pada itu, beliau yang juga Ahli Dewan Negara sejak 16 Jun 2020 berkata, DHPP dengan persetujuan Pas Pahang berhasrat meletakkan calonnya sekali lagi untuk bertanding satu kawasan Parlimen dan satu DUN di Pahang pada PRU15 ini.
“Kita akan berunding dengan Pas Pusat dan Pahang untuk meletakkan calon termasuk di tempat lain dan bagaimanapun terserah kepada keputusan yang akan dibuat oleh pucuk pimpinan Pas nanti,” katanya.
Untuk rekod, pada PRU-14, Balasubramaniam bertanding atas tiket Pas di Parlimen Bentong dan memperoleh 5,706 undi tewas kepada Wong Tack dari PKR yang memperoleh jumlah 25,716 undi dan seorang lagi calon MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai juga tewas dengan memperoleh 23,684 undi.
Seorang lagi ahli DHPP yang bertanding atas tiket Pas di kawasan DUN Tanah Rata, S. Kumar cuma memperoleh 600 undi tewas kepada Chiong Yoke Kong (DAP) mendapat 8,821 undi yang memenangi kawasan tersebut, manakala calon BN-MCA, Leong Tak Man juga kalah cuma memperoleh 5,232 undi. –UTUSAN










