Demi keluarga, saya tak boleh main-main - Ruhainies - Utusan Malaysia

Demi keluarga, saya tak boleh main-main – Ruhainies

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Pelakon, Ruhainies, mengaku, demi memberi kesenangan buat keluarga, dia sentiasa mengingatkan diri supaya tidak bermain-main dengan kerja dan terus berusaha mencari rezeki.

Kata pelakon dengan nama sebenar Nur Ruhainies Farehah Zainul Ilyas ini, dia dan keluarga pernah melalui zaman susah dan pengalaman itu menjadi penguat semangat untuknya bekerja keras bagi mengubah nasib diri.

“Saya ini jenis orang yang apa-apa hal pun keluarga jadi keutamaan. Selama 30 tahun memang kehidupan saya banyak dengan mereka, kami pun pernah melalui zaman susah.

“Lumrah hidup, pasti berselang-seli suka dan duka. Tapi sejak itu juga saya berjanji kepada diri, andai keluarga memerlukan bantuan saya dari segi kewangan atau sokongan moral, jangan segan untuk mencari insan bernama Ruhainies.

“Saya percaya mereka yang berada di posisi saya akan melakukan perkara sama. Ia tanggungjawab. Saya kerja kuat selama ini pun kerana ingin membahagiakan keluarga. Tak akan luak rezeki kita membantu keluarga,” katanya.

Malah, kata Ruhainies, dia rela bekerja dengan rehat yang sedikit, asal dapat terus mencari rezeki.

“Saya memang tak boleh kerja main-main atau banyak berehat sangat. Lagipun saya belum berkahwin, jadi tak perlu fikir keperluan lain. Cukup buat masa ini rezeki yang ada dikongsi untuk diri sendiri dan keluarga.

“Mana tahu terjadi perkara tak diingini waktu mendatang kepada keluarga, sekurang-kurangnya saya ada untuk mereka,”katanya.
Pelakon drama Sayang Tak Dikenang di TV3 itu turut mengimbas kenangan berjaya menjadikan impian ibu bapanya menunaikan haji di Mekah menjadi kenyataan.

“Saya masih ingat sewaktu awal bekerja, ibu dan ayah berhasrat mahu menunaikan haji. Jadi saya kerja keras untuk mencapai apa yang mereka inginkan.

“Seboleh-bolehnya saya mahu juga menunaikan impian mereka untuk ke sana pada 2019. Alhamdulillah, berjaya diraih.

“Biarpun tak dapat turut serta, saya rasa itu kepuasan utama saya. Rasa gembira itu sangat berbeza dan selepas itu, rezeki saya semakin murah.

“Apabila dikenang balik, rasa sebegitu sangat indah. Jadi selagi terdaya, saya akan terus membahagiakan mereka,” katanya lagi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya