PETALING JAYA: Kerajaan perlu menubuhkan pusat tenaga kerja kebangsaan bagi merekrut lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang tercicir atau tidak melanjutkan pengajian ke peringkat tinggi dengan menawarkan latihan kemahiran selama setahun.
Langkah itu sebagai usaha membawa semula golongan tersebut ke dalam industri profesional.
Sehubungan itu, aktivis pekerja, Datuk Abdul Halim Mansor berkata, pihak kerajaan perlu menyusun langkah untuk mendaftar semua golongan belia bagi menjalani satu sesi praktikal selepas tamat pembelajaran dengan tawaran gaji minima sebanyak RM1,500.
Menurut beliau, usaha itu mampu memikat semula golongan muda yang leka dengan pekerjaan bersifat tiada birokrasi atau protokol itu kembali kepada industri profesional kerana sudah merasakan tekanan diterima adil dengan ganjaran yang diberi.
“Penubuhan itu wajar dilakukan dengan mendaftar semua lepasan sekolah menengah mahupun universiti untuk menjalankan khidmat tenaga kerja selama setahun dengan gaji minima dan tidak mengira apa kelulusan mereka, itu salah satu solusi untuk mengatasi kehilangan tenaga buruh dalam negara ketika ini.
“Ini adalah satu perkara yang kerajaan perlu beri perhatian kerana kebanyakan tenaga kerja baru kita ini (orang muda) walaupun berkelulusan tinggi lebih gemar mengambil mudah dalam konteks bekerja dengan menggunakan pekerjaan ekonomi harian,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Pelbagai sektor berdepan kekurangan 1.2 juta pekerja tenaga kerja khususnya sektor peruncitan, perhotelan, perladangan kerana rakyat berminat menyertai ekonomi gig kerana menawarkan pendapatan tinggi dan kerja lebih fleksibel.
Walau bagaimanapun, timbul isu apabila golongan yang memilih untuk menjadi pekerja ekonomi gig mengeluh bayaran tidak setimpal dengan pekerjaan masing-masing dan ditekan dengan syarikat-syarikat servis penghantaran.
Abdul Halim berkata, penyertaan golongan muda ke dalam ekonomi gig berbanding industri-industri profesional adalah satu isyarat yang tidak baik dan amaran bagi mencapai objektif perkembangan negara.
Jelas beliau, kerajaan perlu menilai semula kenapa golongan muda lebih gemar menyertai ekonomi gig berbanding industri yang lebih menjamin masa depan mereka.
“Pihak kerajaan dan majikan perlu meletakkan sesuatu keistimewaan bekerja dengan mereka, bukan hanya gaji tetapi kebajikan-kebajikan lain yang sepatutnya diberikan kepada mereka berdasarkan daripada apa yang mereka berikan pada syarikat dalam waktu kerja itu sendiri.
“Di sini, yang mana kita lihat faedah-faedah yang ada di dalam masa bekerja tetap agak kurang. Contohnya, kita tidak mendapat pulangan caruman EPF yang tinggi, hanya berkadar paling minimum iaitu 12 peratus selama 20 tahun sedangkan syarikat boleh memberi sampai 18 peratus.
“Kemudiannya, kita tidak ada kenaikan gaji mengikut Akta yang ditetapkan, kita hanya ada kenaikan gaji minima dan tidak kenaikan gaji tahunan mengikut prestasi. Pekerja yang tidak mempunyai terma dengan syariat terpaksa menunggu dua tahun untuk mendapatkan kenaikan.
“Tidak ada inisiatif dan insentif untuk membuatkan pekerja dapat kenaikan di atas pembangunan syarikat. Pekerja kita tidak mendapat kenaikan gaji setiap tahun, walaupun prestasi pekerja baik dan syarikat mendapat kenaikan keuntungan setiap tahun kerana tidak ada apa-apa peruntukan Akta yang mesti mewajibkan syarikat menaikan gaji tahunan pekerja mengikut prestasi,” jelasnya. – UTUSAN










