Cubaan seludup petrol RM286,400 tumpas

Cubaan seludup petrol bernilai RM286,400 tumpas

KESEMUA suspek ditahan bersama minyak petrol yang cuba diseludup di jeti Pangkalan Nelayan Silam Kem, Lahad Datu pada Sabtu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LAHAD DATU: Cubaan menyeludup keluar 8,000 liter minyak petrol bernilai kira-kira RM286,400 digagalkan di jeti Pangkalan Nelayan Silam Kem, pada Sabtu.

Dalam kejadian kira-kira pukul 3.30 pagi itu, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) daerah berjaya merampas kesemua barangan yang dipercayai cuba diseludup ke negara jiran.

Pengarah Zon Maritim Daerah, Komander Maritim Nik Mohd Rizam Nik Mohd Fauzi berkata, dalam serbuan itu, pasukan serbuan turut menahan tiga lelaki tempatan bersama seorang warga asing daripada Filipina berusia antara 20 hingga 70 tahun.

Beliau berkata, pihaknya menerima maklumat daripada orang awam mengenai kegiatan mencurigakan di jeti Pangkalan Nelayan Silam Kem.

Justeru, bot peronda Maritim Malaysia diatur gerak ke lokasi bersama pasukan darat untuk melakukan pemeriksaan dan serbuan.

“Serbuan melalui laut dan darat berjaya menahan tiga lelaki tempatan bersama seorang warga asing yang sedang melakukan kerja-kerja pemindahan minyak dari lori ke sebuah bot kargo.

“Hasil pemeriksaan mendapati minyak petrol itu dimuatkan dalam 40 tong drum yang cuba dipindahkan ke bot kargo tersebut.

“Pemeriksaan dokumentasi mendapati bot kargo itu tidak mempunyai sebarang dokumen kebenaran untuk membawa minyak petrol,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Kesemua suspek bersama barang rampasan ditahan dan diserahkan kepada Pegawai Penyiasat Maritim Malaysia untuk siasatan lanjut. Kes disiasat dibawah Akta Kawalan Bekalan 1961.

Tambah beliau, pihaknya akan terus meningkatkan rondaan dan penguatkuasaan bagi mengekang sebarang pelanggaran undang-undang dan perlakuan jenayah diperairan Lahad Datu.

Orang ramai diminta untuk bekerjasama dengan menyalurkan maklumat mahupun aduan ke Zon Maritim Lahad Datu yang beroperasi 24 jam ditalian 089-885727 atau MERS 999.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN