Bung Moktar cadang benarkan buru, bunuh buaya

Bung Moktar cadang benarkan buru, bunuh buaya

BUNG MOKTAR RADIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Bung Moktar Radin mahu kerajaan negeri mewujudkan peraturan atau enakmen bagi membenarkan aktiviti memburu dan membunuh buaya secara berkala di Sabah.

Beliau berkata, seperti dilakukan kerajaan Sarawak, Sabah juga perlu mengambil inisiatif yang sama bagi menangani konflik antara manusia dan buaya di negeri ini.

Ahli Parlimen Kinabatangan itu berkata, kebenaran bagi aktiviti memburu dan membunuh buaya perlu dilakukan dengan kadar segera agar keselamatan penduduk yang mencari rezeki di Sungai Kinabatangan tidak terjejas.

“Susulan tindakan Malaysia menurunkan taraf kategori buaya daripada Apendiks I kepada Apendiks II dalam Mesyuarat Konvensyen Perdagangan Antarabangsa Spesies Flora dan Fauna Liar Terancam (CITES) di Afrika Selatan maka, diharap ia membolehkan buaya di Sabah diburu serta diperdagangkan.

“Saya berharap satu kajian akan dapat dilakukan oleh pihak berkuasa agar dapat mengurangkan populasi buaya di negeri ini demi menjamin keselamatan penduduk, terutamanya yang tinggal di kawasan berhampiran sungai,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Bung Moktar berkata, Jabatan Hidupan Liar (JHL) Sabah perlu bertindak proaktif untuk menangkap buaya-buaya yang terdapat di Sungai Kinabatangan.

“Kita mahu pihak berkuasa mengambil tindakan proaktif dan serius untuk menangani isu ini bagi memastikan penduduk yang menggunakan Sungai Kinabatangan sebagai laluan harian atau lokasi mencari sumber pendapatan,” katanya.

Pada Sabtu, seorang wanita maut dibaham buaya semasa keluar memancing bersama keluarganya berhampiran Kampung Tanjung Bulat Sinar Jaya di Sungai Kinabatangan.

Mangsa kehilangan kedua-dua belah kaki dan tangan pada keesokan harinya pada jarak 800 meter dari lokasi terakhir mangsa diserang.

Menurut Bung Moktar, kejadian sebegitu bukan kali pertama berlaku kerana sudah banyak mangsa yang terkorban akibat serangan buaya di Sungai Kinabatangan maka, tindakan pantas perlu diambil bagi memastikan konflik antara manusia dan buaya ini dapat dikurangkan.- UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya