PADANG BESAR: Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Azalina Othman dianggap hanya memberi pandangan bagi menambah baik pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sewaktu berucap pada Taklimat khas Presiden parti itu, kelmarin.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Azlan Man berkata, Azalina sebagai seorang yang arif dalam bidang perundangan pastinya mempunyai pandangan tertentu bagi menambah baik pentadbiran Perdana Menteri ketika ini.
Katanya, semua pihak tidak boleh melihat pandangan yang disuarakan oleh Azalina itu sebagai satu kritikan kepada Perdana Menteri.
“Saya rasa itu bukan kritikan tapi merupakan pandangan beliau sebagai seorang yang arif dalam bidang perundangan dan mempunyai pandangan tertentu bagi menambah baik pentadbiran Perdana Menteri,” katanya kepada pemberita selepas Sambutan Hari Belia Negara 2022 Peringkat negeri ini di Felda Chuping di sini hari ini.
Azlan berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan dilontarkan ahli Parlimen Pengerang itu yang secara terbuka menyindir Ismail Sabri sewaktu berucap ketika Taklimat Khas Presiden berkenaan.
Menerusi ucapannya itu, Azalina berkata, Perdana Menteri seharusnya melantik Peguam Negara dalam kalangan ‘orangnya’ untuk memudahkan segala urusan.
Azalina dilaporkan berkata, pelantikan peguam negara adalah atas nasihat Perdana Menteri dan beliau seharusnya melantik ‘orangnya’ untuk memudahkan segala urusan.
Dalam pada itu, Azlan yang juga Menteri Besar memaklumkan bahawa mesyuarat bersama presiden parti, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi tidak membangkitkan sebarang desakan daripada mana-mana pihak untuk menyegerakan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
“Bagaimanapun, ahli-ahli parti telah diminta untuk bersiap sedia apabila PRU-15 diumumkan namun tidak ada sebarang desakan untuk menyegerakan pilihan raya dalam mesyuarat itu,” katanya.
Mengulas mengenai program berkenaan, Azlan berkata, penganjuran sambutan Hari Belia Negara peringkat negeri itu dilihat mendapat sambutan meriah daripada golongan muda di Perlis yang berpotensi mewarisi kepimpinan dalam bidang masing-masing.
Tambahnya, perkembangan ini merupakan satu aspek yang positif tambahan pula ia melibatkan pelbagai lapisan kaum dan masyarakat.
“Mereka mempunyai kebolehan dan kepimpinan yang baik sama ada dalam badan-badan persatuan, kebajikan atau profesional,” katanya. –UTUSAN










