KUANTAN: Membubarkan Parlimen dilihat penyelesaian terbaik jika Perikatan Nasional (PN) khususnya Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) terus mendesak diberi jawatan Timbalan Perdana Menteri.
Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Mohd. Sharkar Shamsudin berkata, rakyat ketika ini sedang dihimpit peningkatan kos sara hidup yang menuntut semua duduk semeja membincangkan soal bagaimana mereka boleh mencari penyelesaian kepada isu membelenggu rakyat tersebut.
Beliau berkata, pelantikan baharu jawatan dalam Kabinet termasuk Timbalan Perdana Menteri tidak diperlukan ketika ini.
“Jika kerajaan tetap membuat keputusan melantik seorang Timbalan Perdana Menteri, rakyat akan berasa bahawa ia adalah satu pembaziran yang tidak perlu.
“Tambahan, hangat diperkata ketika ini pembubaran Parlimen semakin hampir dan jika benar, maka tidak perlulah lantikan Timbalan Perdana Menteri.
“Jika desakan terus berlaku, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sewajarnya memohon kepada Yang di-Pertuan Agong untuk membubarkan Parlimen memandangkan tempoh penggalnya hampir tamat tahun depan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Pada 28 Julai lalu, PN melahirkan rasa kecewa dengan tindakan Perdana Menteri yang dikatakan tidak bersungguh-sungguh memenuhi ‘terma-terma penting’ perjanjian beliau dengan parti tersebut.

Justeru, Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainuddin dilaporkan berkata, PN akan menghantar delegasi bertemu Perdana Menteri bagi membincangkan pelaksanaan terma-terma perjanjian tersebut.
Hamzah tidak menjelaskan apakah terma-terma perjanjian yang diputuskan itu, namun dipercayai, antara terma perjanjian itu termasuk isu pelantikan jawatan Timbalan Perdana Menteri.
Mengulas lanjut, Mohd. Sharkar berkata, pelantikan Timbalan Perdana Menteri hanya menambah jumlah anggota Kabinet yang sedia besar ketika ini.
“Isu ini tidak perlu pun dibangkitkan dalam keadaan rakyat yang terus tertekan. Kelangsungan rakyat lebih utama berbanding ahli politik.
“Daripada terus bergaduh soal jawatan Kabinet, lebih baik serah kembali mandat kepada rakyat,” katanya. – UTUSAN











