Bomba selamatkan empat pendaki sesat di Gunung Pulai

Bomba selamatkan empat pendaki sesat di Gunung Pulai

EMPAT mangsa yang terselamat dibawa turun ke kaki Gunung Pulai oleh anggota bomba selepas tersesat ketika menuruni gunung itu di Baling, Kedah.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BALING: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) mengambil masa tiga jam untuk membawa turun empat pendaki yang sesat ketika menuruni Gunung Pulai di sini, semalam.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Baling, Penolong Penguasa Mohd. Jamil Mat Daud berkata, pihaknya menerima panggilan pukul 6.19 petang mengenai kejadian itu.

“Operasi mencari dan menyelamat (SAR) dimulakan sekitar pukul 7 malam dan menemui mangsa kira-kira pukul 11.30 malam dalam keadaan letih akibat kehabisan bekalan makanan.

“Mereka mula mendaki pada pukul 8 pagi dan tersesat ketika menuruni gunung itu tanpa menggunakan khidmat Malim Gunung yang arif dengan selok-belok kawasan berkenaan,” katanya di sini, hari ini.

Mohd. Jamil berkata, mangsa memaklumkan masih dapat melihat sungai selain kedengaran suara azan pada anggaran ketinggian kira-kira 500 meter.

Susulan itu, anggota bersama sukarelawan bomba dan penduduk kampung serta Malim Gunung bergerak ke atas sekitar pukul 8 malam setelah mula mendengar suara dan ternampak lampu mangsa yang tersesat. 

“Usaha dijalankan untuk mencari jalan agak sukar kerana mangsa telah tersasar jauh dengan laluan turun ke bawah selain struktur muka bumi bercerun dan berbatu.

“Namun, keempat-empat pendaki berusia antara 22 hingga 26 tahun berjaya dibawa turun ke kaki Gunung Pulai dalam keadaan selamat dan stabil kira-kira pukul 2.30 pagi sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

Beliau berkata, laluan Gunung Pulai lebih sukar berbanding Gunung Baling kerana tahap kecerunan yang lebih tinggi dan berbatu selain hutan tebal.

“Apabila pendaki tidak arif dengan pendakian gunung itu, mereka berkemungkinan akan tersesat kerana tersasar daripada laluan ketika sedang menuruni gunung.

“Selepas kita terima aduan mengenai kejadian itu, SAR dilakukan segera apabila salah seorang mangsa telah menghubungi dan menyatakan mereka tersesat dalam perjalanan turun ke kaki gunung,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya