Boleh lompat parti sebelum RUU berkuat kuasa bulan depan

Boleh lompat parti sebelum RUU berkuat kuasa bulan depan

lompat parti
WAN JUNAIDI TUANKU JAAFAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Mana-mana ahli Parlimen sedia ada masih lagi sempat untuk melompat parti sebelum Rang Undang-Undang (RUU) mengenai perkara itu diwarta serta dikuatkuasakan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, setakat ini Yang di-Pertuan Agong belum pun memberi perkenan.

Justeru, beliau dalam nada jenaka berkata, anggota Dewan Rakyat masih berpeluang untuk melompat parti sehingga RUU itu diperkenankan Seri Paduka Baginda dalam masa terdekat.

 “Insya-Allah, saya menjangkakan bahawa Tuanku memberi perkenan sekitar minggu pertama atau paling lewat minggu kedua bulan depan,” jelasnya dalam sidang akhbar, di sini hari ini.

 RUU Perlembagaan (Pindaan) (No.3) 2022 itu diluluskan di Dewan Negara pada 9 Ogos lalu setelah berjaya sebelum itu di Dewan Rakyat pada 27 Julai lepas dengan meraih undi majoriti.

 Bagaimanapun, timbul persoalan dalam kalangan pengamat politik tanah air mengenai bilakah tempoh RUU kontroversi itu dikuatkuasakan sebagai undang-undang negara secara rasmi.

 Menyentuh pertanyaan berkenaan, Wan Junaidi tetap mengulangi jawapan sama beliau pada sidang akhbar di Parlimen pada 28 Julai lalu mengenai garis masa RUU tersebut diwartakan.

 Sehubungan itu ujarnya, tidak timbul isu kelewatan kerana Yang di-Pertuan Agong memang diberi tempoh 30 hari sebelum diperkenan berdasarkan Perkara 66 Perlembagaan Persekutuan. .

 Tambahan pula terang beliau, jadual program Seri Paduka Baginda sendiri pada ketika ini secara kebetulan amat padat termasuk lawatan rasmi ke Turkiye yang akan berakhir Sabtu depan.

 “Saya pun banyak disoal beberapa wakil rakyat tertentu mungkin seloroh tanya sempat lagi mereka boleh lompat parti, maka saya pun jawab RUU itu belum pun dikuatkuasakan,” katanya.

 Namun dalam nada optimis, beliau amat yakin, RUU berkenaan sebenarnya tidak masalah besar untuk diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong sebelum pertengahan pada bulan depan.

 Bahkan sebaik sahaja diwartakan sebagai undang-undang, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan memaklumkan kesemua negeri untuk meminda perlembagaan masing-masing.

 Setakat ini kata Wan Junaidi, hanya Pulau Pinang, Kelantan, Sabah dan Sarawak yang sudah memiliki perundangan sedemikian tetapi masih perlu diseragamkan dari segi format peraturan.

 Ia susulan keputusan Mahkamah Persekutuan pada 29 Julai lalu membatalkan penghakiman Mahkamah Agung terhadap kes difailkan Nordin Salleh melawan kerajaan Kelantan pada 1992.

 Langkah tersebut meskipun sudah terlewat 30 tahun, namun kata Wan Junaidi, ia memberi mesej jelas enakmen anti-lompat parti di negeri tidak bertentangan Perlembagaan Persekutuan.

 “Alhamdulillah, RUU ini juga mencipta sejarah Parlimen Malaysia sebagai kedua dipinda terus melalui Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen sendiri tanpa campur tangan kerajaan,” katanya.

 Berdasarkan rekod ujarnya, kali pertama pindaan seumpama itu berjaya dilakukan terus tanpa penglibatan Kabinet ialah pada 2006 lalu terhadap Kanun Keseksaan dan Tatacara Jenayah

 Pembentukan Jawatankuasa Pilihan Khas itu dilaksanakan susulan draf asal RUU ada sedikit pertikaian yang dibimbangi ditafsir terlalu luas dan mungkin boleh dieksploitasi pihak kerajaan. –UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya