JOHOR BAHRU: Walaupun suatu ketika dahulu Johor dianggap kubu kuat Barisan Nasional (BN), namun situasi itu berubah pasca Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) apabila berjaya ditumbangkan Pakatan Harapan (PH).
Menyedari persaingan sengit dan cabaran politik yang sentiasa dinamik, BN Johor di bawah pimpinan Datuk Seri Ir. Hasni Mohammad nyata bersikap ‘rendah diri’ bagi menghadapi PRU15.
Malah, bekas Menteri Besar yang disanjung ramai kerana berjaya mengangkat semula BN menerajui kerajaan negeri selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Mac lalu menjangkakan pada ketika ini, gabungan itu hanya mampu memenangi 10 daripada 26 kerusi Parlimen di negeri ini pada PRU15.
Menurutnya, keyakinan itu berdasarkan beberapa kajian yang telah dilaksanakan pihaknya, khususnya selepas PRN pada Mac lalu.
“Kepimpinan peringkat pusat telah meletakkan harapan dengan mengarahkan BN Johor untuk menyumbang sekurang-kurangnya 20 kerusi Parlimen daripada 26 kerusi yang dipertandingkan di negeri ini.
“Namun, berdasarkan bacaan yang telah dibuat, setakat ini kita hanya yakin untuk memenangi 10 kerusi Parlimen, itupun ada beberapa kerusi tersebut yang masih 50-50.
“Kerusi yang diyakini boleh dimenangi itu ialah Sembrong, Pontian, Tanjung Piai, Ayer Hitam, Parit Sulong, Kota Tinggi, Tebrau, Tenggara, Mersing dan Pengerang,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Berkelompok Persidangan UMNO Cawangan-Cawangan Dalam Bahagian Tebrau, di Savannah Hill Resort, Ulu Tiram, di sini malam tadi.
Yang turut hadir, Ketua UMNO Bahagian Tebrau, Datuk Maulizan Bujang dan Setiausaha Kerja UMNO Johor, Pandak Ahmad.
Namun, Hasni yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor menegaskan tidak mustahil bagi BN Johor untuk memenangi sekurang-kurangnya 20 kerusi Parlimen.
“Sebenarnya peluang untuk capai jumlah itu tidak mustahil. Ia boleh dicapai, tetapi kita perlu bersama-sama mengukur kekuatan dan mencari satu formula terbaik untuk kita beri signal penting kerana Johor negeri penting, kedua besar selepas Sarawak dengan 31 kerusi Parlimen.
“Perkara ini penting kerana PRU15 akan menjadi medan penentuan sama ada UMNO dan BN berupaya untuk kembali bangkit atau tidak.
“Dalam masa sama, kita tidak boleh terlalu yakin dengan kemenangan besar dicatat BN pada PRN lalu yang menyaksikan kita menang 40 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dipertandingkan,” jelasnya.
Hasni turut memberitahu, terdapat beberapa bahagian yang menyuarakan permintaan mereka supaya UMNO diberi peluang untuk meletakkan calon di kerusi Parlimen yang tradisinya diwakili parti komponen lain, iaitu MCA dan MIC.
“Selain daripada Tebrau, saya juga telah terima permohonan daripada UMNO Bahagian Segamat yang menyatakan hasrat mereka untuk meletakkan calon daripada UMNO dalam PRU15 akan datang.
“Perkara itu perlu dibincangkan terlebih dahulu di peringkat kepimpinan pusat, namun bahagian boleh mengemukakan sebab dan strategi mereka bagi memastikan kemampuan untuk memenangi kerusi yang dipertandingkan,” tambahnya. – UTUSAN










