Bicara Ahmad Zahid: Pendakwaan tutup kes

Bicara Ahmad Zahid: Pendakwaan tutup kes, saksi nafi siasatan tidak lengkap 

AHMAD Zahid Hamidi didakwa cuma menerima RM100,000 sebanyak dua kali daripada UKSB, bagaimanapun perkara itu dinafikan Mahendran dalam hari terakhir perbicaraan peringkat pendakwaan di Mahkamah Tinggi Shah Alam, Selangor, hari ini. - FOTO/ZULFADHLI ZAKI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Pasukan pendakwaan dalam perbicaraan melibatkan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berhubung 40 pertuduhan rasuah daripada syarikat Ultra Kirana Sdn. Bhd. (UKSB) di Mahkamah Tinggi hari ini menutup kes mereka selepas memanggil 18 orang saksi. 

Hakim Datuk Mohd. Yazid Mustafa dimaklumkan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Raja Rozela Raja Toran yang mengetuai pasukan pendakwaan selepas pegawai penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mahendran Vjeneran selesai memberikan keterangannya. 

Mahkamah kemudian memerintahkan pihak pembelaan dan pendakwaan memfailkan hujahan bertulis masing-masing pada 29 Ogos dan 5 September, sementara hujahan secara lisan pula ditetapkan pada 1, 2 dan 5 hingga 8 September sebelum Ahmad Zahid diputuskan bebas atau bela diri. 

Dalam masa sama Raja Rozela turut menawarkan seramai 27 orang saksi terdiri daripada bekas Timbalan Ketua Setiausaha (Kawalan dan Penguatkuasaan) Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datuk Wahab Mohd. Yasin; Timbalan Ketua Setiausaha, Datuk Wan Ali Besar dan Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan II) Unit Kerjasama Awam Swasta, Jabatan Perdana Menteri, Raja Muhammad Azhan Shah Raja Muhammad. 

Selain itu, beliau turut mencadangkan beberapa nama lain sebagai saksi pembelaan termasuk beberapa wakil daripada KDN, UKSB, syarikat di Hong Kong dan Labuan, pengurus dan pengarah syarikat pengurup wang serta enam pegawai SPRM. 

Pada hari terakhir peringkat pendakwaan, Mahendran sekali lagi diasak oleh peguam Datuk Ahmad Zaidi Zainal dan Hamidi Mohd. Noh berhubung siasatan terhadap Menteri Dalam Negeri yang meluluskan kontrak Perkhidmatan Pusat Sehenti (OSC) kepada UKSB pada 2012 iaitu Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein. 

Pada awal pemeriksaan oleh Ahmad Zaidi, beliau cuba mempertikaikan siasatan yang dilakukan oleh Penguasa Kanan Bahagian Siasatan Ibu Pejabat SPRM itu berhubung kewujudan nama Hishammuddin dalam borang aduan yang ditandakan sebagai bukti P89. 

Siasatan tersebut juga dilihat cuba dipertikaikan apabila beberapa tokoh yang pernah disebut oleh bekas Pengurus Pentadbiran UKSB, David Tan Siong Sun seperti bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Tun Dr. Mahathir Mohamad tidak sebut Mahendran. 

“Tak setuju yang arif (siasatan difokuskan kepada Ahmad Zahid sahaja). 

“(Siasatan) melibatkan menteri-menteri daripada KDN dan pegawai-pegawainya yang terlibat dalam kontrak Visa Luar Negara (VLN) dan OSC. Mengesahkan kewujudan kontrak VLN dan OSC daripada KDN. 

“Menteri daripada KDN iaitu Hishammuddin (2009-2013) dan Ahmad Zahid,” katanya. 

Tambahnya, siasatan terhadap kontrak VLN dan OSC serta dua menteri tersebut adalah arahan daripada Timbalan Pengarah Bahagian Operasi Khas SPRM. 

Ahmad Zaidi: VLN dan dua menteri, jadi kalau rujuk kepada laporan P89, menteri-menteri (disebut) semalam Hishammuddin dan Ahmad Zahid, kamu siasat VLN dan dua menteri (terlibat), adakah itu bermaksud Mahendran ignore nama lain? 

Mahendran: Ya 

Ahmad Zaidi: Mereka yang disebut tidak didakwa di mahkamah kecuali Ahmad Zahid? 

Mahendran: Ya 

Ahmad Zaidi: Untuk individu lain, adakah dalam pengetahuan Mahendran, percakapan mereka dirakam oleh SPRM, ada? 

Mahendran: Ya 

Ahmad Zaidi: Semua sekali yang disebut nama? 

Mahendran: Ya pegawai kerajaan. 

Ahmad Zaidi: Individu tersebut termasuklah menteri, pegawai kerajaan, imigresen dan sebagainya lah, adakah dirakam? 

Mahendran: Ya 

Ahmad Zaidi: Adakah termasuk KJ (Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar), Muhyiddin, Dr. Mahathir dan sebagainya? 

Mahendran: Tidak pasti. 

Ahmad Zaidi: Tidak pasti? 

Mahendran: Ya, merujuk kepada menteri dan pegawai-pegawai KDN yang terlibat dengan kontrak VLN (UKSB). 

Malah, Mahendran turut memakumkan beliau tidak merakam keterangan Hishammuddin walaupun nama Menteri Pertahanan itu disebutkan dalam borang aduan tetapi tidak tercatat pada lejar daripada UKSB yang ditandakan sebagai bukti P63. 

Justeru, beliau menafikan siasatannya tidak lengkap ketika diperiksa Hamidi selepas maklumkan tidak merakam keterangan Ahli Parlimen Sembrong itu. 

Malah, beliau sekali lagi menjelaskan siasatannya adalah fokus kepada dua menteri daripada KDN dan pegawai-pegawai kementerian itu yang terlibat dengan kontrak VLN dan OSC kepada UKSB ketika pemeriksaan semula oleh Timbalan Pendakwa Raya, Zander Lim Wai Keong. 

Selain itu, beliau juga menolak cadangan Ahmad Zaidi jika jumlah yang diterima Ahmad Zahid daripada UKSB hanya RM100,000 sebanyak dua kali. 

Perbicaran bekas Timbalan Perdana Menteri itu yang bermula pada 24 Mei 2021 dikendalikan Raja Rozela yang mengetuai pasukan pendakwaan bersama Datuk Wan Shaharudin Wan Ladin, Abdul Malik Ayob, Thavani Balakrishnan dan Zander Lim. 

Sementara pasukan pembelaan pula diwakili Datuk Ahmad Zaidi Zainal, Hamidi Mohd. Noh dan Hisyam Teh Poh Teik yang mengetuainya. 

Terdahulu, David Tan yang merupakan Saksi Pendakwaan Ke-17 menamatkan kesaksiannya pada 25 Julai lalu dengan mendedahkan lebih ramai lagi individu berprofil tinggi termasuk bekas Dr. Mahathir dan Muhyiddin masing-masing dikatakan menerima RM2.6 juta dan RM1.3 juta.  

Malah, beliau yang diperiksa di mahkamah selama tiga hari pada peringkat pendakwaan itu turut mendedahkan nama-nama lain seperti bekas pemimpin MCA, Tan Sri Chan Kong Choy dan Tan Sri Ong Ka Chuan serta Naib Ketua Pemuda UMNO, Shahril Sufian Hamdan.  

Masing-masing diberikan dana daripada UKSB sebanyak RM7.8 juta, RM922,820 dan RM1.162 juta dengan catatan kod nama dalam lejar syarikat berkenaan sebagai ‘Prof’, ‘OKC’ dan ‘S Pat’. 

Ahmad Zahid yang juga bekas Menteri Dalam Negeri dalam tujuh pertuduhan didakwa menerima sejumlah wang tunai S$1,150,000; RM3 juta, 15,500 Swiss Franc dan AS$15,000 tanpa balasan daripada UKSB yang mempunyai kaitan dengan kerja rasminya.  

Dalam 33 pertuduhan lain berjumlah S$13.56 juta, beliau didakwa menerima wang tersebut daripada UKSB sebagai dorongan untuk dirinya melanjutkan kontrak pengendali Perkhidmatan OSC di China dan Sistem VLN serta mengekalkan kontrak perjanjian membekalkan sistem bersepadu VLN kepada syarikat sama oleh KDN. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya