SHAH ALAM: Seekor beruang matahari yang terkena jerat haram di kawasan Ladang Escort Ulu Bernam, Hulu Selangor diselamatkan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), Jumaat lalu.
Pengarah Perhilitan Selangor, Dennis Ten Choon Yung berkata, pihaknya menerima aduan orang awam berhubung insiden tersebut dan bergegas ke lokasi bersama kakitangan Pusat Menyelamat Kebangsaan Sungkai Perak.
“Beruang matahari itu dipercayai terkena jerat kira-kira pukul 10 pagi dan pemeriksaan mendapati haiwan itu tidak dapat bergerak akibat satu kakinya terkena jerat dawai,” kata beliau ketika dihubungi.
Menurut beliau, operasi kemudian segera dilakukan dengan memotong dawai itu menggunakan peralatan khas.
Kata Choon Yung, pemeriksaan Jabatan Veterinar mendapati beruang itu tidak mengalami kecederaan serius dan haiwan itu dalam keadaan baik.
“Selepas pemeriksaan, haiwan itu akandilepaskan semula ke habitat hutan asalnya,” ujarnya.- UTUSAN










