KEMAMAN: Kelibat seekor beruang dipercayai berkeliaran di kawasan perumahan di Kampung Baru, Kerteh dekat sini mencuri perhatian orang ramai selepas sebuah video tular di laman sosial, sejak semalam.
Video berdurasi 11 saat yang memaparkan aksi seekor beruang memanjat tembok dan memasuki kawasan rumah penduduk itu sempat dirakam seorang pengguna jalan raya yang menaiki sebuah kereta.
Video yang tular di Facebook dan WhatsApp itu mendapat pelbagai reaksi warganet dan penduduk yang turut bimbang dengan kehadiran beruang itu.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu, Loo Kean Seong ketika dihubungi berkata, setakat ini pihaknya tidak menerima aduan rasmi berhubung kejadian.
“Kakitangan Perhilitan Daerah Kemaman telah ke lokasi kejadian, namun tidak menemukan kehadiran haiwan liar tersebut.
“Bagaimanapun, kita sedang melakukan pemantauan dan kita harap orang awam yang menemuikan sebarang haiwan liar supaya segera memaklumkan kepada pihak kami jika terserempak dengan haiwan tersebut bagi memudahkan pihak kami mengambil tindakan yang sewajarnya,” katanya. – UTUSAN










