Beri ruang Perdana Menteri urus negara dengan cara tersendiri

Beri ruang Perdana Menteri urus negara dengan cara tersendiri

MOHAMED KHALED NORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mesti diberi ruang menguruskan negara dengan cara tersendiri. 

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, ini termasuk isu kenaikan harga barang dan inflasi yang merupakan fenomena global akibat elemen pelbagai rupa yang di luar kawalan kerajaan. 

Katanya, semua pihak mesti mengiktiraf keputusan kerajaan dalam usaha memastikan kos sara hidup tidak membebankan.

“Bukan mudah untuk kerajaan memutuskan hampir RM80 billion dibelanjakan membiayai subsidi pelbagai komoditi dan barangan keperluan rakyat bagi tahun ini.

“Ia hampir sepertiga dari perolehan negara. Jumlah sangat besar ini bermakna kita terpaksa mengorbankan banyak keperluan pembangunan yang sangat diperlukan.

“Begitu juga keputusan beliau menghapuskan AP bagi import bahan makanan. Ia langkah sangat berani dan tepat bagi mengatasi masalah kecukupan makanan yang kita hadapi,” katanya dalam hantaran di Facebooknya semalam. 

Selain itu, Mohamed Khaled berkata, Perdana Menteri telah mengambil beberapa pembaharuan politik radikal semasa mengambil alih pentadbiran kerajaan termasuk rang undang-undang anti lompat parti yang diluluskan baru-baru ini. 

“Kejayaan ini sangat istimewa kerana setelah begitu lama, ia boleh diselesaikan dalam hanya setahun pentadbiran beliau. Sekarang kerajaan beliau sedang mempercepatkan rang undang-undang pendanaan politik. 

“Semua ini adalah perkara yang tidak mungkin terjadi tanpa kemahuan politik dan kepimpinan yang fokus,” katanya. 

Kata Mohamed Khaled, komitmen Perdana Menteri bagi memastikan laporan Jawatankuasa Khas Penyiasatan Tadbir Urus, Perolehan Kerajaan dan Kewangan mengenai perolehan enam kapal tempur pesisir pantai (LCS) dinyahklasifikasi dan didedahkan kepada umum wajar diberi pengiktirafan.

“Beliau jelas bersungguh-sungguh menangani masalah LCS ini dengan telus dan mengikut lunas undang-undang. Kekadang, amat mudah untuk kita bersikap sinis dengan pemimpin, namun, janganlah sehingga menjadikan kita tidak lagi objektif dan gagal bersifat rasional,” katanya.  -UTUSAN

 

-habis-

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya