Bergayut, meniti pada ketinggian 100 meter di Menara Alor Setar

Menara Alor Setar tawar peluang bergayut, meniti pada ketinggian 100 meter

PENGUNJUNG, Nazatul Abd. Majid mengibar Jalur Gemilang ketika mencuba aktiviti Dropzone dan Snap-Sky di Menara Alor Setar yang menjadi menara telekomunikasi ke-2 tertinggi di Malaysia dengan ketinggian 165.5 meter dari paras laut di Alor Setar, hari ini. - FOTO/SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Bergayut dan meniti pelantar pada ketinggian 100 meter di Menara Alor Setar di sini menjadi tarikan baharu kepada pengunjung yang gemar mencabar keberanian dan adrenalin.

Ketua Pegawai Eksekutif Menara Kuala Lumpur Sdn. Bhd., Ainol Shaharina Sahar berkata, aktiviti Dropzone dan Snap-Sky itu mendapat sambutan menggalakkan dalam kalangan pengunjung khususnya penggemar sukan ekstrem sejak ia diperkenal.

“Ini adalah dua produk terbaharu Menara Alor Setar dan sejak diperkenalkan ia mendapat sambutan yang sangat menggalakkan. Kita menyahut saranan kerajaan negeri yang ingin mempelbagaikan aktiviti untuk menarik pelancong di negeri ini.

“Ia adalah aktiviti sukan ekstrem, bayangkan kita duduk berpaut pada satu tali dan boleh nampak seluruh bandar Alor Setar. Sebenarnya semangat itu yang menonjol, kalau mereka boleh alami pengalaman ini dan atasi ketakutan itu ia satu kejayaan besar,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Katanya, aktiviti berkenaan dikendalikan oleh mereka yang pakar serta terlatih dalam bidang berkenaan untuk menjamin keselamatan pengunjung ketika menduga keberanian masing-masing.

“Ini adalah aktiviti pertama seumpamanya di negara ini jadi kita juga berharap dapat menarik perhatian pelancong dari luar,” katanya.

Tambahnya, sempena ulang tahun Menara Alor Setar yang ke-25, harga istimewa khas ditawarkan kepada mereka yang ingin mencuba aktiviti ini iaitu Dropzone sebanyak RM99 berbanding harga asal RM129 dan Snap-Sky, RM25 (RM30).

“Tawaran ini sah sehingga 31 Ogos ini. Kita sasarkan setiap bulan seramai 150 pengunjung mencuba aktiviti ini. Pengunjung akan memakai peralatan keselamatan yang lengkap dan dipantau sepanjang aktiviti,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya