Belum ada keperluan LRT di Ipoh - Utusan Malaysia

Belum ada keperluan LRT di Ipoh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Pembinaan perkhidmatan sistem pengangkutan Transit Aliran Ringan (LRT) yang dicadang untuk dibangunkan kelak di bandar raya Ipoh akan dibiayai menerusi Inisiatif Kewangan Swasta (PFI).

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, projek pelan jangka panjang Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) itu masih memerlukan beberapa kajian lanjut sebelum dilaksanakan termasuk dari segi keperluan kepada penduduk.

“Ia (LRT) bukanlah mahu buat sekarang, perlu melalui proses kajian bagi melihat keperluannya selain pembinaan itu nanti melibatkan jajaran dan kos. Adakah penduduk Ipoh sekarang ini memerlukan perkhidmatan LRT? Kita tidak macam di Kuala Lumpur kerana di sana aliran trafik sesak ekoran bilangan kenderaan yang tinggi selain tempat letak kereta yang terhad.

SAARANI Mohamad (tengah) bersama atlet negeri Perak yang menerima insentif atas kecemerlangan pada Majlis Penyampaian Insentif Kecemerlangan Akademik dan Sukan Atlet Negeri Perak di Ipoh hari ini. – UTUSAN/ASLIZA MUSA

“Di Ipoh setakat ini, trafik tidak tinggi dan tempat letak kereta pun tiada masalah. Malah, pusat membeli-belah pun menyediakan tempat letak kereta yang mencukupi,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Penyampaian Insentif Kecemerlangan Akademik dan Sukan Atlet Negeri Perak di Dewan Serbaguna, Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini hari ini.

Saarani berkata, dari segi keperluan jangka masa panjang, beliau tidak menolak keperluan perkhidmatan LRT di negeri ini.

“Kajian kena dibuat daripada sekarang berkaitan jajaran sama ada melalui celah-celah rumah atau terkena rumah orang. Kerajaan negeri juga tiada kemampuan untuk bina LRT dan perlu ada kerjasama dengan pihak swasta secara PFI. Mereka pun akan buat kajian adakah berbaloi pelaburan itu nanti,” katanya.

November lalu, Draf Rancangan Tempatan Bandar Raya Ipoh 2035 (Penggantian) yang dikeluarkan MBI dalam laman webnya memaklumkan sebanyak 28 stesen LRT dicadang dibangunkan di bandar raya ini dengan jumlah jarak keseluruhan 58 kilometer.

Cadangan projek mewujudkan perkhidmatan LRT itu melibatkan dua laluan dengan masing-masing 16 stesen, menghubungkan antara bandar-bandar utama dalam kawasan Ipoh. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya