Belanjawan: Johor bakal terima berita baik

Belanjawan: Johor bakal terima berita baik

KHAIRY Jamaluddin bersama Onn Hafiz Ghazi melekapkan tapak tangan ke globe kaca sebagai gimik pelancaran program Jelajah Agenda Nasional Malaysia Sihat Peringkat Negeri Johor di Tebing@Bandar Dato Onn, Johor Bahru, hari ini. - FOTO/RAA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MOHAMAD FAIZAL HASHIM/luqman /imran

Pix: Raja Jaafar Ali (gambar2 dihantar dlm sistem)

JOHOR BAHRU: Pembentangan Belanjawan 2023 pada Oktober ini bakal memberikan perkhabaran gembira bagi rakyat Johor apabila kerajaan dijangka meluluskan projek pembinaan Hospital Sultanah Aminah (HSA) 2 di Kempas.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, pembinaan HSA 2 itu dijangka mampu memuatkan 350 katil dan akan dilengkapi kemudahan terkini yang canggih supaya dapat meningkatkan kapasiti dan kesihatan Negeri Johor.

Selain HSA 2, sebuah lagi hospital sedang giat dibina, iaitu Hospital Pasir Gudang yang mencapai tahap 40 peratus pembinaan ketika ini dan dijangka siap November 2024.

“Pembinaan dua hospital baharu di Pasir Gudang dan Kempas ini dijangka akan dapat membantu mengatasi kesesakan di Hospital Sultanah Aminah (HSA) dan Hospital Sultan Ismail (HSI).

“Kedua-dua hospital baharu ini akan dilengkapi lebih 700 katil baharu untuk menampung kapasiti penggunaan di kawasan bandar raya Johor Bahru dan kawasan-kawasan berhampiran. 

“Kita perlukan pelaburan ini untuk memastikan penjagaan kesihatan yang lebih baik. Kita juga akan pantau untuk memastikan bahawa projek itu tidak mengalami kelewatan,” katanya dalam sidang akhbar di program Jelajah Agenda Nasional Malaysia Sihat Peringkat Negeri Johor di Tebing@Bandar Dato Onn, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi dan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah.

Sebelum ini, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan negeri, Ling Tian Soon berkata, HSA 2 akan mula dibina pada 2024, jika ia diluluskan kerajaan dan dibentangkan dalam Belanjawan 2023 ini.

Dalam pada itu, Khairy Jamaluddin memberitahu, dianggarkan terdapat dua juta orang yang tinggal di Johor Bahru dan angka ini tidak termasuk yang datang dari daerah-daerah lain yang mahu menggunakan khidmat doktor pakar di hospital di bandar raya itu.

“Situasi itu menyebabkan kes-kes yang dirujuk di hospital di Johor Bahru datang dari daerah-daerah lain. Oleh itu kita perlukan pelaburan ini untuk perkhidmatan kesihatan yang lebih baik di negeri ini.

“Kini lebih kurang 90 peratus tahap penggunaan (occupancy rate) di HSA dan HSI. (Kadar penggunaan) ini adalah agak tinggi untuk hospital awam,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN