Bekas akauntan pilih niaga buah

Bekas akauntan pilih niaga buah

DHIYA Qawiem Abdullah (kanan) dan Afeeqah Asyeeqin Atilla Mohamad Zahidi (dua dari kanan) bersama pekerja mereka di DNA Fruit yang menyediakan lebih 100 jenis buah-buahan di Alor Setar, Kedah. - UTUSAN/JAMLIAH ABDULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Minat yang mendalam terhadap bidang perniagaan mendorong seorang akauntan meninggalkan kerjaya di kerusi empuknya itu untuk mengusahakan kedai menjual buah-buahan di sini, sejak tahun lepas.

Dhiya Qawiem Abdullah, 28, yang berasal dari Kelantan memberitahu, pertaruhannya membuahkan hasil apabila perniagaan DNA Fruit itu semakin maju dan popular dalam kalangan penggemar buah-buahan terutama strawberi.

“Sebelum buka kedai, saya buat penghantaran tunai (COD) strawberi dari Cameron Highlands dan sambutan agak menggalakkan kerana setiap minggu mendapat tempahan.

“Jadi Julai tahun lepas saya dan isteri, Afeeqah Asyeeqin Atilla Mohamad Zahidi, 28, membuka kedai buah-buahan ini. Kami memulakan bisnes ini menggunakan duit simpanan sendiri berjumlah RM20,000 dan Alhamdulillah modal pusingan kami lebih RM100,000,” katanya di sini semalam.

Dhiya Qawiem memberitahu, terdapat hampir 100 jenis buah-buahan di kedai berkenaan dan paling mendapat sambutan adalah strawberi.

Katanya, untuk menyediakan bekalan strawberi yang segar kepada pelanggan, dia dan isteri yang juga bekas juruaudit berulang-alik dari Alor Setar ke Cameron Highlands, Pahang setiap dua minggu dan membawa bekalan antara 90 hingga 120 kilogram.

“Kami sendiri yang ulang-alik kerana kosnya lebih murah. Dua jenis strawberi menjadi pilihan pengguna termasuk yang putih dan separuh masak. Alhamdulillah strawberi ini sangat popular selalunya habis kurang daripada seminggu dan pelanggan kami juga terdiri daripada orang Perlis terutama peniaga kek dan pastri,” katanya.

Melihat kepada sambutan pelanggan itu, katanya, mereka berhasrat untuk membuka satu lagi cawangan DNA Fruits di Jitra atau Sungai Petani kelak.

“Insya-Allah, kami tahu persaingan dalam bisnes macam ini agak tinggi tetapi sudah setahun kami bertahan jadi kami harap terus bertahan. Cabaran di mana-mana pun ada termasuk kerja makan gaji, apa yang penting berusaha lebih keras,” kata graduan Universiti Utara Malaysia (UUM) itu. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya