KULIM: Sepasang suami isteri muda tabah dan tidak mengeluh demi menjaga anak sulung mereka yang menghidapi masalah sebelah otak tidak normal dan lelangit sumbing yang dikesan sejak lahir.
Muhamamad Azam Amirul Abd. Hadi, 23, dan isterinya, Nurmelisa Ishak, 22, cekal membesarkan Alisha Haura yang baru berusia setahun enam bulan dan sehingga kini masih tidak boleh berdiri atau duduk dalam tempoh lama.
Menurut Nurmelisa, anaknya yang dilahirkan pada 2 Februari tahun lalu di Hospital Taiping, Perak melalui pembedahan dikesan menghidap penyakit itu melalui pemeriksaan yang dilakukan sebelum dirujuk ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di Ipoh, Perak.
“Hasil siasatan lanjut doktor di sana mengesahkan bayi saya mempunyai masalah otak sebelah kiri tidak normal dan langitnya sumbing sehingga anak tekak turut terbelah,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini, semalam.
Nurmelisa yang berasal dari Kuala Kurau dan kini menetap di Pangsapuri Kulim Square berkata, kini setiap sebulan atau selang dua bulan dia akan membawa Alisha Haura membuat pemeriksaan di Ipoh.
Sementara itu, orang ramai yang ingin membantu pasangan tersebut boleh menghubungi talian 011-57456061 atau menyalurkan ke akaun Public Bank 6922572035 atas nama Nurmelisa. -UTUSAN










