Barangan terbuang rezeki empat sekeluarga

Barangan terbuang rezeki empat sekeluarga

JUMAH Ibrahim (kanan) bersama suami dan dua anaknya di rumah sewa yang daif dan menjadi tempat pengumpulan barang terpakai di Teluk Intan, Perak. – FOTO/AIN SAFRE BIDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TELUK INTAN: Sebuah keluarga empat beranak di Kampung Baru Air Hitam di sini menjadikan barangan terbuang yang mereka kumpul seperti botol kaca dan plastik, kotak, kertas dan besi sebagai rezeki untuk menampung keperluan hidup mereka.

Jumah Ibrahim, 43, selain menjaga suaminya yang kemurungan turut menguruskan dua anak pe­rempuan berusia sembilan dan 11 tahun.

Keluarga itu menyewa sebuah rumah kecil yang daif dengan bayaran RM80 sebulan sejak tahun 2013 selepas berpindah dari rumah lama mereka di sebuah ladang kelapa sawit di Batu 7 Changkat Jong dekat sini.

Menurut Jumah, mereka tiada pilihan selain menjadikan bara­ngan terpakai atau terbuang sebagai punca pendapatan kerana kesempitan hidup.

Katanya, dia dan suami serta dua anaknya mencari barangan terpakai termasuk di tempat pembuangan sampah dan kemudiannya dijual RM40 hingga RM60 sehari namun kadangkala tiada barang yang boleh dijual.

“Di tempat lama yang kami tinggal dahulu, suami saya menjual ikan. Namun apabila pindah ke sini, kami mencari rezeki de­ngan mengutip barang terpakai.

“Kami tiada pilihan lain, ini sahaja pekerjaan yang boleh mendatangkan hasil untuk keperluan hidup kami.

“Biasanya barang terpakai ini akan dibeli oleh pembeli yang datang naik lori,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Jumah mengakui ingin hidup seperti keluarga lain yang mempunyai rumah sendiri untuk ke­selesaan mereka sekeluarga.

Katanya, rumah yang disewa­nya sekarang daif dan kecil kerana ruang tamu kecil menjadi tempat mereka tidur anak beranak.

“Kami bersyukur kerana dapat menyewa rumah ini dengan bayaran yang murah walaupun keadaannya tidak begitu selesa selain atapnya bocor.

“Saya berharap ada pihak yang sudi membantu terutama untuk kami dapat berteduh di tempat yang lebih selesa,” katanya.

Selain kesempitan hidup, Ju­mah juga menghidap buasir selain dua anaknya menghidap as­ma dan gastrik.

Katanya, dia bimbang masalah kesihatan yang dialaminya dan anaknya jika tidak menerima rawatan yang sepatutnya.

“Sudah dua bulan saya tidak cari barang lusuh di timbunan sampah, saya tidak larat disebabkan sakit buasir yang semakin menjadi-jadi.

“Penyakit ini menyebabkan saya tak boleh berdiri lama, saya lebih banyak duduk dan berbaring di rumah. Hendak memasak pun terpaksa dibantu oleh dua orang anaknya tapi kasihan melihat mereka kerana mereka pun sakit,” katanya.

Keluarga ini boleh dihubungi di nombor 0124904744. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN