JOHOR BAHRU: Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) merangka pelan jangka masa pendek, sederhana dan panjang bagi mengatasi masalah banjir kilat yang semakin kerap berlaku di kawasan pusat bandar raya seperti yang berlaku semalam.
Datuk Bandar Johor Bahru, Datuk Mohd. Noorazam Osman berkata, punca utama banjir kilat itu adalah hujan lebat luar biasa yang berlaku serentak dengan kejadian air pasang besar.
“Langkah segera diambil antaranya memastikan pam utama berfungsi dengan baik, Skuad Kilat digerakkan bagi melaksanakan kerja pembersihan longkang dan parit di kawasan terjejas, mengeluarkan notis Amaran Kerja Tanah Akta 33 atas kegagalan kawalan kerja tanah pembangunan kepada tiga pemaju dalam kawasan MBJB kerana telah mengakibatkan kejadian banjir lumpur.
“Langkah jangka masa sederhana pula melibatkan kerja pembersihan dasar sungai. MBJB juga telah mengarahkan pemaju membuat kawalan kerja tanah segera bagi memastikan kerja pembangunan tidak menyebabkan kelodak atau sisa kerja tanah memasuki saliran utama yang boleh mengundang kejadian banjir kilat,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Mohd. Noorazam berkata, langkah jangka masa panjang pula melibatkan pelaksanaan kajian tahap kapasiti pam sedia ada termasuk cadangan menyediakan pam baharu bagi menampung pembangunan dalam kawasan MBJB untuk memastikan aliran air dapat dilepaskan dengan lancar ke Selat Tebrau.
“MBJB juga memohon kerjasama setiap warga bandar raya untuk menjaga kebersihan alam sekitar dengan tidak membuang sampah dan sisa domestik dalam saliran utama kerana boleh memburukkan lagi keadaan banjir yang berlaku,” ujarnya.
Menurutnya, banjir kilat semalam menjejaskan beberapa kawasan, antaranya Hospital Sultanah Aminah (HSA), Kampung Mohd. Amin, Jalan Sungai Chat, Persiaran Abu Bakar, Jalan Kolam Ayer, Jalan Ayer Molek, Jalan Stulang Darat dan Jalan Tun Abdul Razak.
Banjir kilat berlaku pada pukul 1.30 petang selepas hujan lebat lebih satu jam sehingga menyebabkan lebih 500 kenderaan yang diletak di kawasan parkir di sekitar bandar raya ini dimasuki air dan mengalami kerosakan. –UTUSAN