ARAU: Kerajaan negeri mengharapkan peruntukan perbelanjaan yang mencukupi dalam pembentangan Bajet 2023 bagi memastikan segala perancangan pembangunan di negeri ini dapat dilaksanakan dengan lancar.
Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man berkata, selain itu, program-program bantuan lain antaranya melibatkan kumpulan B40 juga perlu diteruskan memandangkan golongan ini dilihat masih memerlukan asas yang kukuh untuk keluar daripada kelompok berkenaan.
Katanya, pertimbangan berhubung perkara itu perlu mendapat perhatian kerajaan Pusat memandangkan negara baharu sahaja keluar daripada ancaman pandemik Covid-19 dan masih terdapat rakyat yang memerlukan sokongan untuk berdiri sendiri.
“Perlis juga mempunyai beberapa projek baharu yang masih di peringkat perancangan serta memerlukan masa disebabkan oleh kajian, lantikan konsultan dan sebagainya.
“Dan semua aspek ini memerlukan perbelanjaan yang mencukupi daripada kerajaan Persekutuan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Konvokesyen Program empowerNCER Latihan Kemahiran dan Keusahawanan (Fasa 1-Kumpulan 1) & Program JomNiaga@NCER di Dewan Sivik Arau di sini hari ini.
Hadir sama, Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad dan Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA), Mohamad Haris Kader Sultan.
Dalam pada itu, mengulas mengenai program berkenaan, Azlan berkata, seramai 400 orang usahawan tempatan dalam kelompok B40 berjaya dilahirkan di negeri ini menerusi inisiatif itu.
“Program ini telah berjaya mencapai kejayaan membanggakan dan melahirkan ramai usahawan baharu dalam meningkatkan kemahiran serta pendapatan para peserta,” katanya.
Tambah beliau, program tersebut dirangka bagi meningkatkan keyakinan peserta dalam membuka perniagaan sendiri untuk membantu mereka menjana pendapatan tambahan.
“Bagi pihak pentadbiran kerajaan negeri, saya amat berbangga dengan impak program ini yang berjaya membawa transformasi kepada peningkatan taraf hidup rakyat di sini,” katanya. – UTUSAN










