Anwar bukan saingan di Tambun - Saarani

Anwar bukan saingan di Tambun – Saarani

SAARANI Mohamad (kanan) pada program Hari Bertemu Rakyat DUN Kota Tampan di Dataran Tasik Raban, Lenggong semalam. - FOTO/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LENGGONG: Barisan Nasional (BN) Perak sedia berdepan dengan nama-nama besar pemimpin politik tanah air termasuk Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk bertanding pada Pilihan Raya Ke-15 (PRU15) di negeri ini.

Pengerusi BN Perak, Datuk Seri Saarani Mohamed berkata, jentera parti sedia melawan sesiapa sahaja yang berhasrat bertanding di mana-mana kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) mahupun parlimen di Perak.

Menurut Saarani, hasrat pemimpin utama parti lain untuk bertanding merebut kerusi di Perak bukanlah perkara baharu dan BN Perak tidak melihat Anwar sebagai pesaing kepada BN.

“Tidak ada (saingan), kita BN Perak siapa yang mari bertanding kita lawan sahaja tidak ada masalah kerana pada kita ia bukan perkara baru.

“Dahulu Lim Kit Siang (bekas Penasihat DAP) pun pernah datang ke Ipoh (berhasrat bertanding) jadi sesiapa juga yang datang ke Perak kita akan lawan,” katanya kepada pemberita selepas hadir pada Program Hari Bertemu Rakyat DUN Kota Tampan di Dataran Tasik Raban di sini, semalam.

Ditanya sama ada BN Perak mampu merampas kembali kerusi Parlimen Tambun sekiranya Anwar bertanding, Saarani berkata, pihaknya yakin mampu memenangi semula kerusi yang disandang oleh Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

“Di mana kita bertanding kita mestilah nak menang walaupun satu undi dikira menang, jadi pada saya kita yakin boleh memenangi Parlimen Tambun,” katanya.

Semalam media melaporkan Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson sedia menimbangkan tawaran yang dibuat oleh PKR Perak untuk beliau bertanding di negeri ini pada PRU15.

Menurutnya, beliau juga sedia menimbangkan untuk bertanding di Parlimen Tambun seperti yang ditawarkan.

Ahmad Faizal yang juga Timbalan Presiden Bersatu berjaya memenangi Parlimen Tambun dengan majoriti 5,320 undi pada PRU14 menewaskan penyandang kerusi berkenaan Datuk Seri Ahmad Husni Mohamad Hanadzlah daripada BN. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.