Anak lahir luar negara tidak layak dapat warganegara automatik - Utusan Malaysia

Anak lahir luar negara tidak layak dapat warganegara automatik

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan hari ini memutuskan bahawa kanak-kanak yang dilahirkan di luar negara oleh ibu warganegara Malaysia yang berkahwin dengan warga asing tidak layak untuk mendapat kewarganegaraan negara ini secara automatik.

Penghakiman yang mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi sebelum ini dibuat secara keputusan 2-1.

Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Seri Kamaludin Md. Said yang mengetuai panel bersama-sama Hakim Datuk Azizah Nawawi menyokong keputusan tersebut sementara Hakim Datuk S. Nantha Balan menentang.

Panel hakim terbabit turut memutuskan mana-mana anak plaintif yang telah mendapat kewarganegaraan selepas keputusan Mahkamah Tinggi sebelum ini, kewarganegaraan itu kekal sehingga kes itu diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan.

Bagi permohonan-permohonan plaintif yang masih diproses, permohonan tersebut perlu `dibekukan’ sehingga kes dimuktamadkan.

Saman plaintif

Pada 9 September lalu, Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Datuk Akhtar Tahir membenarkan saman plaintif dengan memutuskan bahawa kanak-kanak yang dilahirkan di luar negara kepada ibu warganegara Malaysia yang berkahwin dengan warga asing berhak melalui peraturan undang-undang untuk menjadi warganegara Malaysia.

Plaintif terdiri daripada Persatuan Kebajikan Sokongan Keluarga Selangor & Kuala Lumpur (Family Frontiers) serta enam wanita Malaysia yang berkahwin dengan warga asing.

Dalam keputusan menyokong yang dibacakan secara berasingan oleh Hakim Kamaludin dan Hakim Azizah, perkataan “bapa” dalam Seksyen 1 (b) dan 1 (c) Jadual Kedua, Bahagian II Perlembagaan Persekutuan tidak boleh dibaca bersama atau turut merangkumi ‘ibu’.

“Duluan (precedent) oleh mahkamah tertinggi sebelum ini telah telah memutuskan bahawa kewarganegaraan seseorang kanak-kanak adalah mengikut kewarganegaraan bapa dan bukannya ibu.

“Bagaimanapun, ibu yang merupakan warganegara Malaysia dan berkahwin dengan warga asing masing boleh memohon kewarganegaraan negara ini mengikut Perkara 14 Perlembagaan Persekutuan,”kata Hakim Kamaludin.

Sementara itu, Hakim Nantha dalam keputusan menentangnya menyatakan, perkataan “bapa” dalam Seksyen 1 (b) dan 1 (c) perlu merangkumi ‘ibu’.

“Ini bukan kes membabitkan kanak-kakan yang dilahirkan di luar perkahwinan yang sah atau membabitkan kanak-kanak yang telah ditinggalkan. Sebaliknya kes hari ini membabitkan ibu warga negara Malaysia yang ingin mewariskan kewarganegaraan mereka kepada anak-anak yang dilahirkan di luar negara dan dalam perkahwinan yang sah,”katanya.

Diskrimasi

Selain itu, hakim tersebut menyatakan, adakah sesuatu yang tidak berperlembagaan untuk mengamalkan diskriminasi jantina dengan hanya mengiktiraf susur galur seorang bapa tetapi tidak bagi seseorang ibu dalam menentukan kewarganegaraan seorang kanak-kanak.

Pada 9 September lalu, Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Datuk Akhtar Tahir membenarkan saman plaintif bahawa kanak-kanak yang dilahirkan di luar negara kepada ibu warganegara Malaysia yang berkahwin dengan warga asing berhak melalui peraturan undang-undang untuk menjadi warganegara Malaysia.

Melalui saman pemula yang difailkan pada 18 Disember 2020, plaintif antara lain memohon enam perintah mahkamah termasuk deklarasi bahawa Seksyen 1(b) dan Seksyen 1(c) Jadual Kedua, Bahagian II Perlembagaan Persekutuan dibaca bersama dengan Perkara 8 (2) bagi memasukkan ibu rakyat Malaysia sebagai syarat untuk bayi yang dilahirkan di luar negara diberikan kerakyatan Malaysia secara automatik.

Antara lain, mereka meminta mahkamah mengeluarkan perintah kepada semua agensi kerajaan berkaitan termasuk Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Jabatan Imigresen dan kedutaan Malaysia agar mengeluarkan semua dokumen membabitkan kerakyatan (termasuk pasport dan kad pengenalan) kepada anak yang dilahirkan di luar negara oleh ibunya iaitu warga Malaysia yang berkahwin dengan warga asing.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya