Aktiviti nelayan kurang di tapak PSI - Utusan Malaysia

Aktiviti nelayan kurang di tapak PSI

IMEJ satelit mendapati tapak projek Penang South Islands bukannya kawasan tumpuan nelayan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Ratusan gambar satelit yang diambil selama tiga setengah tahun mendedahkan aktiviti perikanan di perairan selatan Pulau Pinang kebanyakannya berlaku di luar tapak cadangan projek tambak laut Penang South Islands (PSI).

Ketua Pegawai Eksekutif Penang Infrastructure Corporation (PIC), Datuk Seri Farizan Darus berkata, 200 imej satelit telah dikaji oleh firma juruukur Enviro Land Services (Enviro) untuk mengenal pasti di mana nelayan biasanya menangkap ikan di perairan selatan Pulau Pinang.

“Pada tahun 2016 apabila cadangan PSI masih pada peringkat awal, kerajaan negeri telah menjalankan pengiraan bot nelayan secara manual selama tiga bulan di tapak projek.

“Daripada hasil pengiraan tersebut, kami mendapati kawasan tersebut bukan lokasi penangkapan ikan yang popular dalam kalangan nelayan setempat,” katanya dalam satu kenyataan.

Namun kata Farizan, selepas kerja-kerja untuk melaksanakan PSI mula menunjukkan kemajuan, sesetengah pihak telah mendakwa tapak projek yang dicadangkan tersebut adalah tempat nelayan setempat menangkap ikan.

“Bagi mendapat kepastian, kami telah melantik jururunding untuk mendapatkan imej satelit yang menunjukkan pandangan udara kawasan perairan selatan Pulau Pinang dan menjalankan kajian untuk mengenal pasti di mana sebenarnya nelayan menangkap ikan.

“Hasil kajian tersebut telah mengesahkan penemuan yang terdahulu,” katanya.

PENGGUNAAN TEKNOLOGI IMEJ SATELIT

PIC telah melantik Enviro yang berkepakaran geospatial dan mendapatkan imej satelit dari arkib PlanetScope untuk mengenal pasti di mana nelayan tempatan menangkap ikan.

Imej yang dikaji telah diambil oleh ratusan satelit PlanetScope yang mengorbit bumi dan mengambil gambar setiap hari.

Pengarah urusan Enviro, Yip Kit Meng berkata, 200 imej yang digunakan dalam kajian tersebut meliputi 80 peratus kawasan di sekitar tapak PSI dan mempunyai liputan awan yang kurang daripada 15 peratus untuk memastikan pemandangan perairan selatan Pulau Pinang adalah jelas.

“Berdasarkan imej-imej itu, kita dapat melihat kedudukan bot-bot nelayan dengan jelas.

“Enviro kemudian mengumpul dan menyatukan data harian yang diperolehi dari imej-imej tersebut dalam satu gambar untuk menunjukkan lokasi penangkapan ikan yang popular dalam kalangan nelayan di perairan selatan Pulau Pinang,” katanya.

Farizan berkata, imej satelit dan hasil kajian Enviro telah dapat mengesahkan maklumat nelayan kepada kerajaan negeri dan Pusat Khidmat Setempat Nelayan (PPSN) yang mana mereka biasanya menangkap ikan di luar tapak PSI.

Hasil kajian tersebut juga selaras dengan data Agensi Angkasa Malaysia (MYSA) yang menggunakan imej satelit untuk mengenal pasti lokasi bot nelayan di perairan selatan Pulau Pinang pada April 2021, Januari dan Mac 2022.

“Kami kerap mendengar nelayan menangkap ikan di sekitar Kapal Simen dan Pulau Kendi. Perkara ini dapat dilihat dalam imej satelit yang diperoleh.

“Daripada penemuan ini, kami dapat membuat kesimpulan bahawa bot yang dikesan di tapak PSI, di mana airnya cetek, adalah kira-kira 12 peratus. Majoriti nelayan pergi lebih jauh (dari tapak PSI),” katanya.

GAMBARAN KEADAAN YANG SEBENAR

Farizan berkata, kerajaan negeri bercadang untuk menggunakan teknologi imej satelit dalam pemantauan kerja penambakan pada masa akan datang.

“Dengan adanya imej satelit, kami telah memperolehi maklumat yang berguna untuk membolehkan kontraktor merancang operasinya dengan lebih baik untuk mengawal pergerakan kapal dan mencegah pencemaran.

“Teknologi imej satelit ini berguna dalam pelaksanaan langkah-langkah kawalan alam sekitar PSI,” katanya sambil menegaskan bahawa kerajaan negeri akan memastikan semua langkah diambil untuk meminimumkan kesan projek terhadap alam sekitar.

ISU LAMA DIBANGKITKAN LAGI

Penambakan PSI kini tertakluk kepada kelulusan laporan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) dan Pelan Pengurusan Alam Sekitar (EMP).

Sesi pameran awam laporan EIA yang memberi peluang kepada orang ramai untuk memberi maklum balas baru sahaja selesai pada awal bulan Julai.

Kebelakangan ini, pengkritik projek PSI juga telah muncul semula untuk membantah projek tersebut dengan dakwaan projek akan menjejaskan alam sekitar dan jaminan makanan, Farizan berkata.

Farizan berkata, isu jaminan makanan yang digunakan untuk menyerang PSI bukanlah perkara baharu dan penjelasan telah dibuat sebelum ini bahawa projek tersebut tidak akan menyebabkan nelayan kehilangan mata pencarian atau kawasan penangkapan ikan.

“Daripada mengungkitkan isu-isu lama, kita sepatutnya memikirkan cara untuk menjadikan sektor perikanan kita lebih mampan untuk menghadapi perubahan iklim dan permintaan makanan laut yang semakin meningkat di dalam dan di luar Malaysia,” katanya.

PROGRAM MESRA NELAYAN

Farizan juga menegaskan, kerajaan negeri Pulau Pinang tidak mengabaikan nelayan, sebaliknya telah menjadikan mereka kumpulan penerima manfaat yang pertama dalam pembangunan itu.

“Ada pihak tertentu yang sering cuba menggambarkan kerajaan negeri sebagai musuh utama nelayan. Tetapi kami berharap orang ramai tidak terpedaya.

“Inisiatif positif yang dilaksanakan untuk menjadikan kehidupan nelayan lebih baik menerusi skim SIMP dan program pengimbangan ekologi (PEOM) tidak harus dinafikan,” katanya.

Skim SIMP menawarkan bantuan kewangan dalam bentuk ex-gratia, bot dan enjin, empat jeti baru, saluran navigasi yang menyediakan akses 24 jam ke laut, peluang pekerjaan dan perniagaan, program latihan dan peningkatan kemahiran, skim pemilikan rumah, serta sokongan pendidikan untuk anak-anak nelayan.

PEOM pula melaksanakan penanaman bakau, pelabuhan tukun tiruan dan unjam, pembinaan garis pantai mesra alam, pelepasan benih ikan dan udang, peruntukan dana untuk penyelidikan berkaitan marin dan perikanan, dan lain-lain.

“Inisiatif-inisiatif di bawah PEOM yang juga membawa kebaikan untuk nelayan akan mewujudkan habitat baru untuk ikan dan hidupan laut lain. Kerajaan negeri sudah pun memulakan program penanaman bakau.

“Adalah tidak adil bahawa inisiatif-inisiatif ini tidak diakui sesetengah pihak,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya