Akta Kredit bendung risiko dieksploitasi ‘beli sekarang bayar kemudian’

Akta Kredit bendung risiko dieksploitasi ‘beli sekarang bayar kemudian’

KERATAN laporan Utusan Malaysia.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Penggubalan Akta Kredit Pengguna (CCA) tidak menjejaskan pasaran e-dagang sebaliknya mengelakkan pengguna dieksploitasi syarikat menawarkan perkhidmatan berkonsepkan ‘beli sekarang bayar kemudian’ atau BNPL.

Ini kerana menerusi BNPL, pengguna boleh membeli produk atau perkhidmatan serta-merta melalui bayaran secara ansuran tanpa menyedari adanya caj tersembunyi yang dikenakan.

Pengguna terutama golongan belia tertarik dengan BNPL kerana ia menawarkan bayaran tanpa faedah, tidak perlu memeriksa rekod kredit individu dan boleh membayar secara ansuran.

Kelebihan BNPL bagaimanapun boleh mendorong sesetengah pengguna bersikap boros sehingga akhirnya terpaksa menanggung beban hutang yang banyak, malah berisiko muflis.

BARJOYAI BARDAI

Pensyarah ekonomi Universiti Tun Abdul Razak, Prof. Dr. Barjoyai Bardai berkata, berikutan itu pentingnya BNPL dikawal selia melalui penggubalan CCA.

“BNPL perlu dikawal selia kerana ada kemungkinan banyak terma atau syarat tersorok dalam perkhidmatan yang ditawarkan. Pengguna berdepan hutang yang banyak jika terlampau taksub membeli tanpa merujuk kepada syarat-syarat yang dikenakan.

“Malah, hutang individu dalam kalangan rakyat Malaysia juga tinggi ketika ini, sebab itu Bank Negara sedang mengumpul data mengenai BNPL bagi mengelakkan lebih ramai yang terjejas dari segi kewangan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Setakat ini, terdapat lebih 10 syarikat yang menawarkan perkhidmatan BNPL antaranya Atome, Hoolah, PayLater, PayLater Grab, SPayLater Shopee dan Split.

Kebanyakannya menawarkan bayaran ansuran antara tiga hingga enam bulan, dengan mengenakan caj pada kadar tertentu jika terlambat melunaskan bayaran.

Terdahulu, akhbar ini melaporkan kerajaan mahu mengetatkan kawal selia kredit pengguna termasuk perkhidmatan BNPL melalui penggubalan CCA.

Justeru, pasukan petugas Lembaga Pemantauan Kredit Pengguna (CCOB) mempelawa maklum balas dan ulasan mengenai kertas perundingan cadangan penggubalan CCA selewat-lewatnya 5 September ini.

CCOB ditubuhkan pada Julai 2021 untuk menggubal akta CCA bagi memastikan layanan adil terhadap para peminjam, dengan fasa pertama penggubalan bermula pada 2023-2024, fasa kedua (2025-2029) dan fasa ketiga (2030 ke atas).

Bagaimanapun, Barjoyai berkata, akta CCA tidak menjejaskan perkembangan pasaran e-dagang yang dijangka menjana RM2 bilion hasil transaksi melalui BNPL tahun ini, sebaliknya hanya berfungsi melindungi hak pengguna.

“Akta CCA ini hanya bertujuan mengawal selia kaedah pembiayaan seperti BNPL sama ada ia memenuhi akta kewangan atau urus niaga itu melebihi satu-satu had.

“Jadi, ia melindungi pengguna daripada dieksploitasi syarikat BNPL bukan untuk menyekat penggunaannya, tetapi mengenal pasti syarat-syarat yang dikenakan kepada pengguna,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya