Akta Dana Politik tambah baik politik negara

Akta Dana Politik tambah baik politik negara

CHE Abdullah Mat Nawi menyempurnakan pelepasan Program POLYCC@ Merdeka Fun Run 2022 anjuran Kolej Komuniti Pasir Mas di Dataran Masjid Ismaili di Pasir Pekan, Tumpat, Kelantan hari ini. -UTUSAN/MUSTAQIM MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TUMPAT: Rang Undang-Undang (RUU) bagi Akta Pendanaan politik dilihat mampu membuka lembaran baharu dalam arena politik negara ke arah suasana yang lebih telus dan bersih.

Ahli Parlimen Tumpat, Datuk Che Abdullah Mat Nawi berkata, walaupun penjelasan secara terperinci berkenaan akta tersebut belum diperoleh namun beliau optimis ia mampu menambah keyakinan rakyat terhadap situasi politik negara pada masa depan.

“Saya menyokong semua akta yang mendorong kepada ketelusan serta reformasi Parlimen, kerajaan dan sebagainya kerana ia baik untuk kita semua termasuklah rakyat. Saya difahamkan Pas turut menyokong usaha mengadakan Akta Pendanaan Politik ini.

“Melihat kepada situasi itu, saya optimis Pas akan memainkan peranan besar dalam membantu merealisasikan akta ini untuk penambahbaikan suasana politik negara,” katanya ketika ditemui selepas menyempurnakan pelepasan Program POLYCC@ Merdeka Fun Run 2022 anjuran Kolej Komuniti Pasir Mas di dataran Masjid Ismaili, Pasir Pekan di sini hari ini.

Bekas Setiausaha Pas negeri itu memberitahu, bagaimanapun tidak dapat dipastikan sama ada akta tersebut akan dapat diluluskan sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) atau sebaliknya.

“Hal ini kerana ia bergantung kepada keputusan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. Jika dapat diluluskan dan dimuktamadkan sebelum PRU 15, akta tersebut pasti akan membawa kesan baik kerana ia membolehkan kesemua calon dan parti bertanding di atas padang yang sama rata.

“Seandainya tidak sempat diluluskan sebelum PRU 15 usaha mengadakan Akta Pendanaan Politik saya yakin ia akan tetap disambung pada persidangan Parlimen di masa hadapan,” ujarnya.

Utusan Malaysia hari ini melaporkan, RUU Akta Pendanaan politik dijangka akan dibentangkan pada akhir sidang Parlimen yang dijadual Oktober ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, RUU itu mungkin dibawa ke Parlimen selepas Belanjawan 2023 yang juga dibentang pada sidang sama. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN