BACHOK : Ahli Parlimen Pengkalan Chepa Datuk Ahmad Marzuk Shaary menyokong penuh tindakan Dewan Pemuda Pas Pusat untuk mengadakan bantah penganjuran konsert artis dari luar negara.
Ahmad Marzuk berkata, bantahan itu wajar disuarakan kerana penganjuran konsert tersebut dilakukan oleh pihak tertentu yang memohon permit dan lesen dan tidak melibatkan kerajaan.
Menurutnya, bantahan itu memperlihatkan sikap konsisten Pas dalam memperjuangkan isu-isu berkait dengan agama Islam di negara ini.
“Walaupun Pas sudah menjadi sebahagian daripada kerajaan di peringkat Putrajaya, tetapi kalau ada yang tidak betul Pas sentiasa tegas dengan prinsip perjuangan asal. Kita sentiasa cuba sedaya mungkin untuk mengamalkan prinsip amar makruf.
“Jadi…janganlah ada pihak lain yang cuba membawa masuk perkara-perkara mungkar. Jadi kita akan berusaha mencegah perkara-perkara tersebut,” katanya.
Beliau menyatakan demikian bagi mengulas tindakan Dewan Pemuda Pas Pusat yang menyatakan hasrat untuk mengadakan bantahan sekiranya kerajaan tidak menghentikan penganjuran konsert artis dari luar negara itu selepas Majlis Penyampaian Sumbangan Replika Kunci Van Jenazah dan Sumbangan Musaadah Bencana di Masjid Mukim Ar-Rahman Kampung Repek di sini hari ini.
Sebelum ini, Pemuda Pas memberi amaran tidak teragak-agak untuk menggerakkan bantahan jika gesaan agar konsert artis antarabangsa yang dijadualkan di negara ini tidak diendahkan.
Ketua Pemuda PAS, Ahmad Fadhli Shaari menggesa kerajaan membatalkan konsert sedemikian kerana ia menggalakkan budaya hedonisme menular dan dilihat tidak bersesuaian serta bertentangan dengan Islam sebagai agama persekutuan.
Ahmad Marzuk yang juga Ahli Jawatankuasa Pas Pusat memberitahu, tiada keperluan untuk membawa masuk konsert-konsert tertentu yang tidak bertepatan dengan normal masyarakat di negara ini.
Katanya, kemudah hiburan yang sedia ada di negara ini sudah mencukupi.
Beliau yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) turut mengingatkan kepada pihak-pihak tertentu supaya tidak membuat perkara-perkara yang boleh mengundang semula kemurkaan Allah.
“Hal ini kerana kita tahu setiap musibah itu adalah teguran untuk sedarkan kita. Sepatutnya perkara itu tidak perlu dalam situasi kita baharu nak pulih daripada Covid ini,” ujarnya.-UTUSAN










