Agong sokong RUU Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022

Agong zahir sokongan RUU Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022

AL-SULTAN Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah (tengah) berkenan melawat pameran selepas merasmikan Kompleks Institut Kesihatan Negara di Institut Kesihatan Negara (IHN) Shah Alam, Selangor, hari ini. - FOTO/ZULFADHLI ZAKI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menyokong hasrat kerajaan untuk menguatkuasakan Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022 yang dibentangkan dalam sidang Dewan Rakyat baru-baru ini.

Seri Paduka bertitah mahukan kesihatan rakyat Malaysia berada dalam keadaan optimum dan menyifatkan kerajaan membuat keputusan yang baik, dalam masa sama dapat memastikan manfaat kepada generasi masa hadapan. 

“Baru-baru ini beta begitu bangga setelah mendapat maklum dan laporan daripada kerajaan khususnya Perdana Menteri, yang mana satu lagi Rang Undang-Undang yang dibentang di Parlimen berhubung kawalan tembakau dan rokok untuk dikaji secara lebih mendalam.

“Kita perlu menegaskan iaitu perlu mendidik anak-anak muda kita untuk mengadakan satu kesihatan yang paling terbaik, amalan-amalan yang baik perlu diteraskan supaya perkara-perkara yang menjejaskan kesihatan dapat kita kurangkan,” titah Seri Paduka ketika berucap merasmikan Kompleks Institut Kesihatan Negara (NIH), hari ini.

Al-Sultan Abdullah menambah, RUU tersebut diharap mendapat sokongan daripada seluruh rakyat Malaysia terhadap usaha murni kerajaan demi menjaga serta menentukan tahap kesihatan generasi akan datang lebih terpelihara dan terjamin.

Bagaimanapun, Seri Paduka meletakkan keyakinan kepada kerajaan untuk menguatkuasakan RUU tersebut dan cara pelaksanaannya selepas diluluskan kerana kewujudan undang-undang  tersebut juga dipercayai dapat menjimatkan perbelanjaan operasi hospital di negara ini.

Terdahulu, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaludin Abu Bakar membentangkan pindaan RUU Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022 untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat untuk mengadakan peruntukan bagi pendaftaran produk tembakau, bahan merokok atau produk pengganti tembakau.

RUU berkenaan turut mengetengahkan larangan merokok apa-apa produk tembakau atau pengganti tembakau serta larangan penggunaan peranti merokok, oleh mana-mana individu yang lahir pada 2007 dan seterusnya yang disebut sebagai generasi penamat (GEG).

Dalam pada itu, Al-Sultan Abdullah turut menzahirkan penghargaan kepada warga Kementerian Kesihatan (KKM) dan pasukan keselamatan yang memberikan perkhidmatan terbaik sewaktu memerangi wabak Covid-19.

Pendek kata, untuk beta nyatakan besar kebanggaan dan terima kasih kepada setiap warga KKM yang telah bertungkus-lumus bersama-sama anggota tentera, polis dan lain-lain yang mana memberi seluruh jiwa dan raga untuk kita memerangi.

“Alhamdulillah kita sehingga kini berjaya (masuk) ke era post-pandemik ini dan saya harap warga KKM diketuai oleh Ketua Pengarah, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah supaya terus meningkatkan perkhidmatan kepada rakyat dengan lebih ikhlas, mesra dan jitu untuk menentukan setiap daripada kita berada dalam keadaan selamat,” titah Seri Paduka. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya