Agong bincang hubungan dua hala bersama Naib Presiden Turkiye

Agong bincang hubungan dua hala bersama Naib Presiden Turkiye

YANG di-Pertuan Agong berkenan menerima menghadap Fuad Oktay di Ankara sempena Lawatan Negara Seri Paduka ke Turkiye. - ISTANA NEGARA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Beberapa isu termasuk hubungan dua hala menjadi topik perbincangan  antara Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Naib Presiden Turkiye, Fuad Oktay sempena lawatan negara Seri Paduka ke negara itu.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Seri Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, Al-Sultan Abdullah berkenan menerima menghadap Fuad di sebuah hotel di Ankara dan sesi menghadap tidak berjadual itu diadakan susulan sesi menghadap Seri Paduka bersama Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan pada majlis Sambutan Negara, Selasa lalu.

Katanya, pada sesi yang berlangsung sejam itu, beberapa isu dibincangkan khususnya dalam hubungan dua hala.

“Pendekatan itu adalah selaras dengan lawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ke Turkiye pada bulan lalu yang hubungan dua hala antara Malaysia dan Turkiye telah dipertingkat daripada Kerangka Kerja Bagi Kerjasama Strategik kepada Perkongsian Strategik Komprehensif.

“Peningkatan ini khususnya dalam memperkukuh kerjasama antara kedua-dua negara dalam bidang sedia ada dan turut menerokai bidang baharu antaranya keselamatan makanan, pendidikan, komoditi, perkhidmatan kewangan, pertahanan, minyak dan gas serta tenaga yang boleh diperbaharui,” katanya dalam kenyataan.

Menurut Ahmad Fadil, isu-isu yang dibangkitkan dalam sesi menghadap itu turut mengambil kira lanjutan daripada lawatan Menteri Luar Turkiye ke Malaysia pada awal Ogos lalu.

Tahun ini merupakan tahun ke-58 hubungan diplomatik Malaysia dan Turkiye yang terjalin sejak 1964.

Malaysia dan Turkiye menandatangani 23 perjanjian dan memorandum persefahaman (MoU) sejak 1977 dan hubungan perdagangan antara kedua-dua negara semakin berkembang sejak termeterainya perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) pada 2014.

Turkiye adalah rakan kongsi perdagangan ketiga terbesar Malaysia di Timur Tengah selepas Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) dengan jumlah perdagangan antara dua negara merekodkan RM16.97 bilion pada tahun lepas dengan jumlah eksport bernilai RM14.12 bilion manakala jumlah import bernilai RM2.84 bilion.

Import utama Malaysia dari Turkiye antaranya besi dan logam, produk petroleum, barangan kemas, tekstil dan pakaian.

Dengan adanya Perkongsian Strategik Komprehensif ini, adalah dijangkakan kedua-dua negara meningkatkan kerjasama dan promosi perdagangan. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN