KUCHING: Bintang penyanyi popular Indonesia, Afgan bakal menjadi tetamu khas penganjuran festival Kuching Jazz 2022.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, pembukaan semula sempadan dan pemansuhan sekatan perjalanan akan merancakkan semula
sektor pelancongan negeri itu dalam mengembalikan beberapa festival muzik yang terkenal di serata dunia serta penganjuran festival baharu.
“Saya percaya ramai peminat festival seperti ini tidak sabar untuk berhubung semula dengan rakan-rakan mereka dari luar mahupun dalam negara melalui acara fizikal secara langsung seperti ini.
“Justeru, Afgan mempunyai peminat yang cukup besar di Malaysia dan juga peminat muzik genre jazz tempatan di Sarawak, dan namanya juga sering diminta oleh pengunjung ke acara Kuching Jazz pada setiap tahun sejak 2017, dan akhirnya rundingan bersama pada tahun ini kami bawakan ke acara kali ini,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media pada pelancaran Kuching Jazz bagi anjuran tahun 2022 di Grand Margherita, di sini hari ini.
Pada masa yang sama, Abdul Karim berkata pihaknya mensasarkan empat ribu pengunjung ke acara tahunan tersebut dari luar dan dalam negara.
“Kita mensasarkan dua ribu pengunjung pada setiap hari ke festival yang akan berlangsung pada 28 hingga 29 Oktober ini dengan jumlah empat ribu pada dua hari tersebut.
“Malah, ini sekaligus akan merancakkan semula industri perhotelan di bandaraya ini dengan beberapa acara yang akan diadakan dalam tempoh bulan yang sama dan seterusnya,” jelasnya.
Abdul Karim turut menyifatkan muzik merupakan cara untuk berhubung antara satu sama lain, perbezaan bahasa dan budaya yang ada di Sarawak. Justeru, pihaknya amat mengalu-alukan pengunjung dari luar negeri Sarawak berkunjung dan menikmati budaya yang ditawarkan di negeri itu.
Untuk rekod, festival Kuching Jazz 2022 yang akan diadakan tebingan Waterfront Grand Margherita Kuching juga akan menampilkan artis dan band daripada Malaysia dan negara luar iaitu Singapura, Indonesia, Thailand dan Australia dengan lebih ramai artis akan didedahkan dalam beberapa minggu akan datang.
Orang ramai boleh membuat tempahan tiket di laman sesawang www.kuchingjazz.com yang bakal menawarkan harga jualan awal serendah RM300 untuk pas dua hari.- UTUSAN