SUNGAI SIPUT: Aduan berkaitan kes buli di sekolah yang diterima melalui portal aduan buli, Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPA) meningkat kepada 69 kes sejak dilancarkan seminggu lalu.
Menteri Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin berkata, peningkatan itu membuktikan keberkesanan aduan secara dalam talian di portal berkenaan dalam usaha mengatasi kes buli di sekolah.
Menurutnya, aduan yang diterima itu sudah ada yang diambil tindakan dan ada aduan yang masih dalam siasatan.
“Melalui SISPA, sebanyak 28 aduan diterima dan satu sudah selesai.
“Aduan Melalui email ada dua pertanyaan, tujuh panggilan pertanyaan melalui talian tetap, 10 panggilan pertanyaan melalui telefon mudah alih melalui WhatsApp dan 20 pertanyaan melalui melalui WhatsApp dan dua aduan melalui WhatsApp,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas program Wacana Bersama Komuniti Orang Asli di Pusat Pentadbiran dan Pusat Komersial Orang Asli (OAOSC) di sini hari ini.
Menurutnya, anggaran tempoh menyelesaikan aduan yang diterima bergantung pada kes kerana ada kes yang mudah diselesaikan dan ada juga yang memerlukan siasatan dalam melibatkan pihak berkuasa.
“Kita tak boleh nak kata berapa tempoh masa menyelesaikan kes yang diadukan namun apabila kita dapat maklumat aduan kes buli, kita akan terus membuat siasatan sekiranya dapat diselesaikan kita akan selesaikan segera itu pendekatan kita.
“Kalau kita mulakan siasatan dengan menetapkan tempoh masa, ini akan membawakan kepada keadaan kalau tempoh itu terlalu pendek hingga tak sempat siasat habis sudah dah buat kesimpulan.
“Kita tidak mahu begitu, kita mahu keadilan untuk semua, aduan yang kita terima kita siasat satu persatu dengan mendalam sebelum kita mengambil sebarang tindakan,” katanya.
Mengenai keberkesanan menerusi portal aduan buli yang dilancarkan, Radzi berkata, sebelum ini ada ibu bapa kurang selesa untuk melaporkan kes buli kepada pihak sekolah.
Katanya, ibu bapa bimbang kes yang diadukan mungkin disorok pihak sekolah dan sekolah tidak mengambil tindakan yang selanjutnya.
“Maka kita mengambil pendekatan buka kepada ibu bapa laporkan kepada kami melalui SISPA menerusi emel, telefon dan aplikasi WhatsApp
“Apa yang paling penting sistem pelaporan ini kerahsiaan maklumatnya kita pegang, kita tidak mahu maklumat sulit ini terkeluar, nanti anak-anak mereka pula diberikan tekanan,” katanya. – UTUSAN