fbpx

Ada apa dengan Filem Mat Kilau?

PARA peserta bergambar selepas program Bicara Persada UKM bertajuk, ‘Mat Kilau Kebangkitan Pahlawan: Yang Tersurat dan Tersirat’, baru-baru ini.

FILEM Mat Kilau yang ditayangkan baru-baru ini telah mencetuskan suatu fenomena baharu dalam kalangan masyarakat di Malaysia. Filem ini bukan sahaja menarik perhatian peminat seni tanah air, malahan ahli akademik  turut terpanggil untuk berbicara tentang garapan pengisian yang dalam maksudnya. Ternyata, rakyat Malaysia benar-benar dahagakan sebuah karya seni yang sarat dengan nilai sejarah dan semangat patriotisme seperti ini.

Baru-baru ini, warga Universiti Kebangsaan Malaysia berpeluang menyelami minda pengarah muda, Mohd Syamsul Mohd Yusof, melalui sebuah majlis ilmu yang dikenali sebagai Bicara Persada UKM yang membawa tajuk, ‘Mat Kilau Kebangkitan Pahlawan: Yang Tersurat dan Tersirat’. Program bicara ini turut dihadiri oleh Prof. Emeritus Dato’ Dr. Wan Hashim Wan Teh, Pensyarah Fakulti Pengajian & Pengurusan Pertahanan UPNM dan Dato’ Rosyam Nor yang juga merupakan seorang pengarah, penerbit dan juga pelakon terkenal tanah air.

Maksud Tersirat

Tidak dinafikan, sebuah filem yang baik mempunyai graviti tersendiri untuk menarik masyarakat menghayati mesej yang ingin disampaikan melalui penceritaan filem tersebut. Justeru, ada apa dengan filem Mat Kilau? Filem ini sebenarnya bukanlah sekadar sebuah olahan biografi yang melakonkan semula kisah sejarah yang termaktub dalam pelbagai makalah. Mesej tersirat yang ingin disampaikan melalui filem ini sebenarnya merentasi zaman. Hakikatnya, filem Mat Kilau lebih dari sekadar hiburan. Ia merungkai isu semasa yang berlaku dalam masyarakat.

Perpecahan dalam masyarakat bukan hanya berlaku pada zaman dahulu. Hari ini, kita melihat perbalahan di mana-mana. Kita turut menyaksikan peperangan antara dua buah negara yang memberi kesan kepada ekonomi dunia. Isu perpaduan dan keruntuhan organisasi serta kesepakatan masyarakat global yang semakin pudar merupakan antara punca utama yang menyumbang kepada ketidakstabilan politik dan sosioekonomi masyarakat pada hari ini. Inilah antara maksud tersirat di sebalik adegan-adegan penuh aksi yang mendebarkan hati dalam filem Mat Kilau ini.

Nilai Etika dan Peradaban

Bagaimanakah kita dapat membantu masyarakat menghayati nilai etika dan peradaban yang sebenar? Sejarah merupakan kunci kejayaan sesebuah masyarakat. Sekiranya kita tidak belajar dari sejarah, kesilapan pasti berulang kembali. Justeru, mengangkat perjuangan pahlawan terdahulu sambil menghayati pengajaran di sebalik  kisah-kisah lama pasti berupaya membuka minda kita semua. Penerapan nilai melalui penghayatan kisah sejarah bukanlah suatu kaedah pembelajaran yang baharu dalam kalangan warga IPT di Malaysia. Di UKM, di samping memahami kisah-kisah sejarah, bahasa Melayu turut diangkat dengan suatu kehebatan yang melambangkan identiti watan seluruh masyarakat Malaysia. UKM percaya bahawa perpaduan dan kesepakatan boleh dicapai melalui pembudayaan bahasa Melayu sebagai bahasa akademik bertaraf dunia yang menjadi kebanggaan semua. Ianya juga mampu membentuk jati diri bangsa Malaysia yang positif dalam kalangan mahasiswa, tak kira bangsa dan agama.

Tidak dinafikan, perubahan biografi masyarakat yang terus berevolusi melalui pelbagai pendedahan serta pengaruh luar mampu memecah-belahkan rakyat. Sejarah telah membuktikan bagaimana penjajahan Portugis, Belanda, dan British telah merubah masyarakat dengan kefahaman mengenai jati diri yang berbeza mengikut acuan moden yang sekular. Perubahan ini bukanlah sesuatu yang negatif tetapi variasi budaya, perbezaan ideologi dan percanggahan fikiran, seandainya tidak diambil perhatian, boleh mencetuskan konflik dan perbalahan. Inilah antara cabaran masyarakat yang kekal sehingga ke hari ini, yang harus ditangani bersama. Jika diteliti garapan babak-babak dalam filem Mat Kilau, mesej yang tersirat ini pasti dapat dihayati. Persoalannya, bagaimana masyarakat menterjemah pesanan ini untuk dijadikan amalan dalam kehidupan seharian mereka?

Perkasa Jati Diri

Selaras dengan usaha membina jati diri bangsa Malaysia yang kental dengan nilai-nilai kemanusiaan, UKM memainkan peranan dalam usaha memperkasa jati diri dan nilai murni dalam kalangan mahasiswanya. Antaranya ialah menerusi aktiviti sukan, program pembangunan sahsiah, kesukarelawanan, patriotisme, program kebudayaan dan kem kepimpinan.

Perkongsian kefahaman jati diri ini membolehkan warga UKM secara kolektif merealisasikan agenda perpaduan masyarakat, sederap dengan aspirasi KPT. Jati diri yang kental dan utuh membentuk keperibadian mulia, sifat toleransi serta nilai kesepakatan yang dapat membantu mahasiswa meningkatkan keupayaan diri dalam menyusuri cabaran hidup. Jati diri ini juga menggerakkan semangat mencipta kejayaan sebagai ahli masyarakat yang berguna kepada bangsa dan negara. Semoga penghayatan nilai dan jati diri yang mantap berupaya melahirkan generasi muda yang hebat, sehebat pahlawan Mat Kilau.

Masa Depan Industri Filem

Hakikatnya, industri filem Malaysia sendiri memerlukan sokongan dan nafas baharu, agar lebih segar, relevan dan diterima oleh peminat seni di seluruh dunia. Saya bersetuju dengan Prof. Emeritus Dato’ Dr. Wan Hashim Wan yang menggesa kerajaan untuk terus menyokong serta mengangkat martabat industri filem negara. Pandangan ini turut disokong Dato’ Rosyam Nor yang melihat industi filem di Malaysia bukan seperti “industri” tetapi sekadar perkampungan filem yang menyajikan hiburan semata-mata.  UKM pula berhasrat untuk menawarkan Program Teknologi Filem dan Muzik di bawah Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan. Proses penyediaan dokumen penawaran program ini juga sudah berada diperingkat akhir. Inilah bukti sokongan universiti watan dalam memperkasakan industri filem kebangsaan. – UTUSAN

Prof. Dato’ Gs. Ts. Dr. Mohd Ekhwan Hj. Toriman

Naib Canselor

Universiti Kebangsaan Malaysia

 

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, Twitter, Instagram, Youtube, Telegram & TikTok

BERITA BERKAITAN

Menarik di Kosmo!