99 projek lulus, RM5.6 bilion untuk sektor inovasi - PM - Utusan Malaysia

99 projek lulus, RM5.6 bilion untuk sektor inovasi – PM

ISMAIL Sabri Yaakob (dua kanan) bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Ekonomi), Datuk Seri Mustapha Mohamed (kanan) melawat ruang pameran selepas merasmikan Persidangan Inovasi Malaysia 2022 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) hari ini. - UTUSAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kerajaan meluluskan sebanyak 99 projek penyelidikan, pembangunan, pengkomersialan dan inovasi (R&D dan C&I) dengan kos berjumlah RM5.6 bilion untuk sektor inovasi di Malaysia, bagi tempoh 2021 hingga 2022.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kelulusan itu dibuat berdasarkan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) yang bermatlamat untuk mencapai negara maju menjelang 2025.

Ini bermakna katanya, Malaysia perlu terus berubah dan berinovasi ke arah negara digital yang makmur dan berdaya tahan melalui pendigitalan, terima guna teknologi dan inovasi bagi mencapai pertumbuhan ekonomi yang mapan.

“Dalam aspek pengkomersialan, sekurang-kurang 50 peratus jumlah perbelanjaan R&D perlu menjurus kepada penyelidikan pembangunan eksperimental, selain melahirkan lebih ramai pencipta teknologi serta usahawan teknologi tempatan bagi menjana kekayaan dan pertumbuhan ekonomi.

“Pada 2025, peratusan perbelanjaan kasar R&D (GERD) kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK) negara dijangka mencapai 2.5 peratus, berbanding 1.04 peratus sahaja pada 2018.

“Bagi tujuan ini, sumbangan sektor swasta disasarkan mencapai 70 peratus daripada jumlah perbelanjaan R&D dengan sumber pembiayaan alternatif termasuk modal teroka, pembiayaan antarabangsa dan dana endowmen juga dipertingkatkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Persidangan Inovasi Malaysia 2022 di ibu negara.

Bagaimanapun, Ismail Sabri percaya, terdapat cabaran berkaitan inovasi yang perlu ditangani sebelum negara mampu mencapai status negara berpendapatan tinggi.

“Ini termasuk pelaburan sektor awam dan swasta yang rendah dalam R&D dan C&I berbanding dengan negara-negara maju. Contohnya pada 2018, GERD Korea Selatan ialah 4.52 peratus, Jepun 3.22 peratus berbanding 1.04 peratus bagi Malaysia.

“Landskap R&D dan C&I Malaysia juga berbeza dengan negara-negara maju kerana hampir 80 peratus penyelidik di negara ini pada 2018 berada di institusi pengajian tinggi manakala 97.4 peratus usahawan datangnya daripada Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS),” katanya.

Selain itu katanya, kira-kira 5,435 syarikat pemula (startups) daripada 2010 hingga 2020, hanya lima peratus syarikat pemula berasaskan teknologi.

“Oleh itu, bagi pendekatan jangka pendek dan sederhana, kerjasama dalam kalangan pihak penyelidik dan usahawan perlu dilaksanakan untuk meningkatkan inovasi tempatan.

“Ini sejajar dengan Pelan Hala Tuju Ekosistem Syarikat Pemula Malaysia 2021-2030 (Super) yang menyasarkan 5,000 buah syarikat pemula dan lima buah syarikat bertaraf unicorn bernilai lebih AS$1 bilion menjelang 2025.

Namun katanya, setakat ini, Malaysia hanya mempunyai sebuah syarikat bertaraf unicorn iaitu Carsome Sendirian Berhad.

“Oleh itu, lebih banyak insentif perlu disediakan bagi mewujudkan lebih banyak syarikat pemula berasaskan teknologi termasuk merangka strategi ekosistem inovasi terbuka bagi merancakkan inovasi negara menerusi penggemblengan idea semua pihak yang terbabit,” katanya.

Tambahnya, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi selain Akademi Sains Malaysia sedang membangunkan Malaysian Open Science Platform untuk mempergiatkan perkongsian data antara penyelidik dan industri.

“Bidang keutamaan sains, teknologi dan inovasi negara juga sedang diselaraskan di bawah RMK12,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN